LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua ahli keluarga mangsa buli membabitkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak akan dipanggil polis untuk memberi keterangan, esok.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia Wan Azlina Wan Adnan berkata, mereka akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields 4 petang, esok.

"Ia adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK terhadap ahli keluarga terbabit.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 MCKK mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian di platform media sosial selepas anaknya yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah berkenaan.

Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB), persatuan itu berkata, tindakan menularkan kes berkenaan di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah terbabit secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 11:01 PM