OMAR Bakhtiar. FOTO Arkib NSTP
OMAR Bakhtiar. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Polis mengesahkan berlaku kes buli membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sebuah sekolah berasrama di sini.

Difahamkan, ia membabitkan tiga pelajar Tingkatan 4 dan empat suspek pelajar Tingkatan 5 sekolah bertaraf elit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata pihaknya mengesan tular di media sosial Instagram berhubung kes buli di sebuah sekolah berasrama dalam daerah ini.

Katanya, dalam kejadian itu mangsa Tingkatan 4 dikatakan dipukul hingga cedera oleh pelajar Tingkatan 5.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Doktor yang merawat mangsa mengesahkan, hasil pemeriksaan mendapati "Normal Physical Finding", justeru mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000, atau dengan kedua-duanya," katanya.

Katanya, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Bahagian D5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 20 Oktober 2023 untuk pandangan dan nasihat.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata laporan berhubung kejadian buli itu diterima daripada doktor yang merawat mangsa, dan kejadian dikatakan berlaku pada awal Oktober lalu.

Katanya, kes itu pada mulanya hendak diselesaikan secara dalaman oleh sekolah namun susulan tular mengenai kecederaan dialami pelajar itu maka polis membuka siasatan kes itu.

"Kes ini sudah lama, iaitu sejak awal Oktober kalau tak silap, tetapi ia ditularkan semula. Pada mulanya pihak sekolah hendak ambil tindakan (di peringkat) sekolah tetapi apabila ia sudah tular maka kita buka balik siasatan," katanya.

Sejak semalam, tular di media sosial X berhubung seorang pelajar dibawa oleh warden asrama sebuah sekolah pada 23 September lalu ke Hospital Kuala Kangsar selepas dipukul pelajar senior selain cedera di bahagian anggota sulit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 4:29 PM