MCKK.
MCKK.
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis masih menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung siasatan kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi hari ini berkata kertas siasatan diserahkan sebelum ini masih di AGC.

"Masih lagi (kertas siasatan) di AGC. Tunggu arahan dari mereka," katanya ringkas ketika dihubungi.

Pada 24 November lalu, Mohd Yusri berkata pihaknya akan merujuk semula kertas siasatan berhubung kes buli itu kepada AGC selepas laporan penuh perubatan mangsa kes itu diperoleh daripada Hospital Kuala Kangsar.

Mohd Yusri dilaporkan berkata kertas siasatan yang sudah lengkap serta laporan perubatan mangsa itu dihantar kepada AGC pada Isnin, 27 November lalu untuk arahan seterusnya.

Beliau juga dilaporkan berkata pihaknya tidak menerima sebarang unsur untuk menyelesaikan perkara itu di luar bidang perundangan sama ada daripada pihak ibu bapa, sekolah dan sebagainya.

Bagaimanapun pada Khamis lalu, media melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying dilaporkan bakal mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar yang terbabit dalam kes buli di MCKK itu, minggu depan.

Polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan pada 24 September lalu.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul empat pelajar tingkatan lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli itu dan dianggap memberi imej buruk kepada sekolah berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:51 PM