Oleh Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Sebanyak 150 keluarga di Kelantan menerima bantuan banjir (Kotak Rezeki) menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Nestle di Masjid At Taqwa, Kampung Kubang Pak Hitam di sini.

Pengarah Eksekutif, Perundangan dan Kesetiausahaan Nestle Malaysia, Tengku Ida Adura Tengku Ismail berkata, menjadi tanggungjawab syarikat itu untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada komuniti memerlukan.

"Kami berharap sumbangan kecil kami meringankan beban masyarakat susulan krisis banjir di Kelantan dan kami amat berbesar hati kerana diberi peluang bekerjasama dengan Harian Metro dalam program TKHM bagi tahun 2024.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan Harian Metro, Nestle Cares dan JKM Pasir Mas yang hadir membantu mengedarkan bantuan Kotak Rezeki kepada mangsa banjir di sini," katanya.

Beliau berkata, bergerak seiring, pihaknya berharap untuk terus-menerus membantu dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti yang terjejas banjir.

Hadir pada program berkenaan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro Noor Azam Abd Aziz.

Manakala Nestle diwakili Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Ivy Tan dan Ketua Komunikasi Korporat Shaheen Zaffar serta sukarelawan Nestle Cares.

Turut hadir, wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Azman Mat Zain; Ketua Bahagian Logistik, IPD Pasir Mas, ASP Ahmad Fadzli Ismail dan Penghulu Mukim Bakong Mohamad Kamaruddin Che Ngah.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (empat kanan) dan Pengarah Eksekutif, Perundangan dan Kesetiausahaan Nestle Malaysia, Tengku Ida Adura Tengku Ismail (tiga kiri) menyampaikan bantuan banjir (kotak rezeki)  kepada sebahagian 150 keluarga penerima sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Nestle yang diadakan di Masjid At Taqwa, Kampung Kubang Pak Hitam, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (empat kanan) dan Pengarah Eksekutif, Perundangan dan Kesetiausahaan Nestle Malaysia, Tengku Ida Adura Tengku Ismail (tiga kiri) menyampaikan bantuan banjir (kotak rezeki) kepada sebahagian 150 keluarga penerima sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Nestle yang diadakan di Masjid At Taqwa, Kampung Kubang Pak Hitam, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sementara itu, Husain berkata program berkenaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro bersama rakan niaga membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri itu.

Katanya, program TKHM memberi peluang pihaknya menyantuni mangsa banjir yang menghadapi pelbagai kesukaran akibat banjir.

"Kami mengagihkan Kotak Rezeki mengandungi pelbagai makanan yang diharapkan dapat meringankan beban mangsa banjir di sini.

"Bagi menjayakan program TKHM, pihak kami turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas dan jawatankuasa penduduk membantu mengumpulkan senarai penerima," katanya.

Husain berkata, pihaknya turut menyantuni tujuh keluarga terkesan teruk akibat banjir di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh di Rantau Panjang.

"Sebagai media yang dekat dengan masyarakat, komitmen kami terhadap program CSR ini tidak akan berhenti dan diteruskan selagi mana Harian Metro berdiri kukuh di pasaran," katanya.

Program TKHM diwujudkan sejak 2007 mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk agensi kementerian, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan korporat untuk membantu meringankan beban sara hidup golongan sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 7:05 AM