Oleh Sudirman Mohd Tahir

Rompin: Memahami kos sara hidup yang semakin meningkat, Harian Metro dan Yayasan Bank Rakyat meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu meringankan beban perbelanjaan golongan memerlukan di Kampung Setajam, Kuala Rompin.

Usaha murni ini adalah inisiatif di bawah program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Yayasan Bank Rakyat selepas lokasi pertama di Kampung Jawa, Segamat, Johor pada Ramadan lalu.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit berkata, seramai 130 penduduk Kampung Setajam yang juga golongan asnaf dan yang terbabit dengan bencana banjir baru-baru ini menerima sumbangan kotak rezeki yang mengandungi keperluan barangan harian seperti minyak masak, gula, tepung dan susu.

"Alhamdulillah, ini satu lagi program TKHM dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat. Penerima kali ini juga terdiri mangsa banjir dari tiga kampung iaitu Kampung Setajam, Kampung Kurnia dan Kampung Mentara yang berlaku pada Januari dan Mac lalu. Saya tengok memang perlu dibantu. Walaupun sudah lama, tapi kesan masih dapat dilihat hingga kini.

"Gandingan bersama Yayasan Bank Rakyat ini adalah satu kerjasama strategik yang dapat membantu masyarakat, terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka," katanya.

Husain Jahit, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Mohd Rawi Abd Rani,  Muhamad Safar Ahmad, Hasnul Hadi Ab Manan dan Mohamad Ghazali Zainal Abidin bergambar kenangan bersama para penrima sumbangan di program Titipan Kasih Harian Metro dengan kerjasama Bank Rakyat di Balai Raya Kampung Setajam Endau, Kuala Rompin. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Husain Jahit, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Mohd Rawi Abd Rani, Muhamad Safar Ahmad, Hasnul Hadi Ab Manan dan Mohamad Ghazali Zainal Abidin bergambar kenangan bersama para penrima sumbangan di program Titipan Kasih Harian Metro dengan kerjasama Bank Rakyat di Balai Raya Kampung Setajam Endau, Kuala Rompin. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Menurutnya, dia berharap kerjasama Harian Metro dan Yayasan Bank Rakyat tidak berhenti di sini dan diteruskan pada masa akan datang.

"Harapan saya adalah Yayasan Bank Rakyat dapat teruskan kerjasama supaya kita dapat bantu lebih ramai masyarakat. Bukan saja mangsa banjir, tapi santuni lebih ramai golongan dari pelbagai masalah.

"Menerusi TKHM ini, kita akan bergerak secara kolektif bukan saja dengan Yayasan Bank Rakyat, tapi juga dengan syarikat lain. Insya-Allah, hingga hujung tahun program kita dipenuhi dengan TKHM," katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Setajam, Mohd Rawi Abd Rani berkata, pihaknya bangga dan bersyukur dengan keprihatinan TKHM untuk membantu mereka di kawasan itu.

"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Harian Metro dan Yayasan Bank Rakyat kerana prihatin dengan memberikan sumbangan untuk penduduk kampung di sini yang terbabit banjir Mac lalu.

"Saya berasa bangga apabila kampung kami dipilih untuk menjayakan program seperti ini. Banjir yang berlaku kali ini," katanya.

Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Yayasan Bank Rakyat Mohamad Ghazali Zainal Abidin, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz dan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Rompin Hasnul Hadi Ab Manan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 6:50 AM