Jalan utama menghubungkan Kuala Balah-Jeli di Kampung Kubur Datu di sini, runtuh 3.30 petang hari ini dan ditutup kepada semua kenderaan. FOTO Ihsan bomba.
Jalan utama menghubungkan Kuala Balah-Jeli di Kampung Kubur Datu di sini, runtuh 3.30 petang hari ini dan ditutup kepada semua kenderaan. FOTO Ihsan bomba.
Hidayatidayu Razali


Jeli: Jalan utama menghubungkan Kuala Balah ke Jeli di Kampung Kubur Datu, di sini ditutup kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan.

Runtuhan sepanjang lima meter dikesan pada 3.30 petang menyebabkan jalan itu tidak boleh dilalui di kedua-dua hala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, jalan itu digunakan oleh penduduk untuk ke bandar Jeli, melakukan pelbagai urusan termasuk ke hospital.

Katanya, ia juga jalan pintas bagi kebanyakan pengguna dari Jeli, Tanah Merah, Rantau Panjang untuk ke Gua Musang, seterusnya menghala Kuala Lumpur.

"Pihak kita mendapat makluman berlaku runtuhan lubang besar (sinkhole) di laluan itu dan pemantauan sudah dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Jeli (JKR) mengesahkan jalan persekutuan itu mengalami sinkhole dan penutupan bermula hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

"Sehubungan itu, papan tanda pemberitahuan akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya. Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu," katanya.

JKR berharap agar semua pengguna mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.

"Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan. Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung JKR Jeli di talian 09-9440140," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 7:13 PM