Sebahagian lebih 400 motosikal yang diperiksa dan dibawa ke BSPT IPD Kota Setar dalam Op Samseng Jalanan sempena Malam Tahun Baru 2024 di persimpangan Kepala Batas. FOTO IHSAN PDRM
Sebahagian lebih 400 motosikal yang diperiksa dan dibawa ke BSPT IPD Kota Setar dalam Op Samseng Jalanan sempena Malam Tahun Baru 2024 di persimpangan Kepala Batas. FOTO IHSAN PDRM
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Keseronokan lebih 400 penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabit dalam aksi lumba haram, termasuk yang berusia 12 tahun, sempena sambutan tahun baru 2024, berakhir apabila mereka ditahan polis, awal pagi tadi.

Kesemuanya yang berusia 12 tahun hingga 25 tahun ditahan jam 3.40 pagi di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, 60 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar terbabit dalam Op Samseng Jalanan itu bermula jam 11 malam hingga jam 10.15 pagi.

Operasi turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN).

"Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Setar mengesan pergerakan besar kumpulan bermotosikal memasuki pusat bandaraya sambil melakukan aksi menunggang secara berbahaya.

"Kami menyusun atur strategi di beberapa lokasi di sekitar persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, sebelum kepungan secara serentak dilakukan tepat jam 3.40 pagi.

"Kumpulan bermotosikal itu cuba meloloskan diri namun gagal apabila kesemua laluan keluar dikepung sepenuhnya," katanya dihubungi.

Ahmad Shukri berkata, 430 motosikal bersama 478 individu ditahan untuk pemeriksaan dan 340 saman dikeluarkan.

Pada masa sama, 70 daripada motosikal terbabit disita.

Ahmad Shukri berkata, ujian air kencing mendapati dua daripada individu terbabit positif dadah jenis Methamphetamine sebelum dibawa ke BSJN IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Operasi berakhir sepenuhnya jam 10.15 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 2:47 PM