MOHD Ruslan (gambar kecil) maut selepas motosikalnya melanggar bahagian belakang kereta Proton Wira di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, Jitra, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
MOHD Ruslan (gambar kecil) maut selepas motosikalnya melanggar bahagian belakang kereta Proton Wira di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, Jitra, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang kereta di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, Jitra, malam tadi.

Dalam kejadian 9.45 malam itu, mangsa, Mohd Ruslan Eng Mohd Abdullah, 45, berasal dari Taman Seri Nyior, Jalan Tunjang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu Mohd Redzuan Hamid, 27, dari Kampung Wang Tepus menghala ke Alor Setar berhenti di persimpangan berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, lampu isyarat ketika itu berwarna merah menyebabkan pemandu kereta memberhentikan kenderaannya.

“Secara tiba-tiba pemandu kereta terbabit terdengar hentakan kuat pada bahagian belakang dan mendapati sebuah motosikal melanggar kenderaannya.

“Akibat pelanggaran itu penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra (HJ) untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta yang juga pekerja kilang dan menetap di Kampung Agun Jalan Wang Tepus, tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, saksi kejadian itu boleh tampil untuk membantu polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:51 AM