MAYAT lelaki yang ditemui lemas di Sungai Kedah.FOTO Ihsan JBPM.
MAYAT lelaki yang ditemui lemas di Sungai Kedah.FOTO Ihsan JBPM.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki yang hilang di Sungai Kedah ketika cuba melarikan diri dari polis di Taman Limau Manis, Jalan Alor Mengkudu ditemui lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemui pada jam 3.40 petang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan.

Beliau berkata, mayat terbabit dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

"Polis sedang mengesan rakan berusia 30 tahun yang masih bebas apabila berjaya berenang melepasi sungai berkenaan hari ini.

"Seorang lagi rakan mereka berusia 20 tahun berjaya ditahan polis dan siasatan lanjut akan dilakukan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melakukan Ops Tapis di kawasan itu jam 1 petang hari ini.

Beliau berkata, ini berikutan maklumat yang diterima pihaknya memaklumkan terdapat penghantaran dadah dari Pendang ke kawasan itu.

Katanya, kesemua mereka dipercayai tokan dadah dan siasatan masih dijalankan.

"Anggota kami terserempak tiga lelaki dan sebuah kereta Proton Wira putih di kawasan itu dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

"Seorang daripada mereka sempat berenang melepasi sungai berkenaan manakala seorang lagi berjaya ditahan polis.

"Bagaimanapun seorang lagi ditemui lemas dan ditemui ketika operasi menyelamat sedang dilakukan dengan bantuan pihak bomba," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Firdaus Daud berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada pihak polis pada jam 1.07 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja seramai lapan orang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Aset bot dari Jalan Raja dan Alor Setar tiba di lokasi untuk membantu operasi pencarian dan mayat lelaki terbabit ditemui sekitar jam 3.40 petang.

"Sepasukan anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Jitra turut membantu operasi ini yang bermula jam 3.30 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 6:24 PM