ALIF mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan petang tadi.
ALIF mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan petang tadi.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Cuba elak kenderaan tukar lorong dipercayai punca selebriti, Alif Satar hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Sri Hartamas 1, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 8 malam tadi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 4.20 petang ketika pelakon berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Vespa berada di lorong paling kiri.

"Sampai di lokasi kejadian, sebuah SUV jenis Mazda CX5 yang berada di lorong kanan telah masuk ke laluan kiri, menyebabkan pelakon terbabit mengelak ke kiri sebelum hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan," katanya.

Menurutnya, Alif cedera di bahu kiri, manakala motosikalnya mengalami kerosakan.

Terdahulu media melaporkan Alif mengalami kemalangan di Hartamas berdekatan Istana Negara, di sini tetapi tidak mengalami kecederaan serius.

Pengurusnya, Dina berkata, kejadian berlaku ketika Alif dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya selepas solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 11:51 PM