Dr Ali Al Abbab (dua dari kiri) meletakkan batu asas Sekolah Malaysia MyCare-Econsave disaksikan Dr Mohd Zin (dua dari kanan), Mas Imran (kanan) dan Dr Abdurabh (kiri).
Dr Ali Al Abbab (dua dari kiri) meletakkan batu asas Sekolah Malaysia MyCare-Econsave disaksikan Dr Mohd Zin (dua dari kanan), Mas Imran (kanan) dan Dr Abdurabh (kiri).
Othman Mamat


Marib (Yaman): Rakyat Malaysia menyumbang RM1 juta bagi membina sebuah sekolah yang bakal menyediakan pembelajaran secara formal kepada anak-anak mangsa perang di sebuah kem pelarian di bandar ini.

Pusat pendidikan di Kem Pelarian Al Jufainah yang dikenali sebagai Sekolah Malaysia MyCare-Econsave itu dijangka siap dibina dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan dan dijangka mula digunakan akhir tahun depan.

Upacara pecah tanah sekolah berkenaan yang juga usaha Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasar Raya Econsave Cash & Carry (Econsave) disempurnakan dalam kawasan kem pelarian terbesar di Yaman dan juga Timur Tengah itu, semalam.

Kem itu menempatkan 12,000 penghuni daripada 2,000 keluarga pelarian. Timbalan Menteri Pelajaran Yaman, Dr Ali Al-Abbab; Wakil Gabenor Marib, Dr Abdurabh Ali Meftah; Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani menyempurnakan upacara peletakan batu asas sekolah berkenaan.

Mas Imran berkata, reka bentuk sekolah rendah berkenaan sama seperti Sekolah Malaysia yang dibina di Syria dan akan mempunyai kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang lengkap.

"Sekolah ini akan mempunyai dua sesi pelajaran dengan enam bilik darjah yang mampu menempatkan 400 murid untuk permulaan," katanya ditemui pemberita selepas upacara pecah tanah sekolah itu.

Sekolah berkenaan adalah pusat pendidikan yang ketiga dibina MyCare dan Econsave selepas di Syria yang beroperasi pada September lalu dan di Palestin dibuka pada 2018.

Sebahagian anak pelarian yang bersesak dalam bilik darjah sementara di Kem Pelarian Al Jufainah, Marib, Yaman.
Sebahagian anak pelarian yang bersesak dalam bilik darjah sementara di Kem Pelarian Al Jufainah, Marib, Yaman.

Ia adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dikendalikan MyCare dan Econsave. MyCare dan Econsave kini dalam Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave yang bermula dari 18 sehingga 31 Disember ini di Syria dan Yaman.

Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata, pihaknya bercadang menambah jumlah sekolah pada masa depan dan MyCare dengan Kementerian Pelajaran Yaman serta rakan pelaksana iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Human Access akan bekerjasama mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.

"Kita akan bincang sekolah yang akan didirikan itu untuk sekolah menengah atau rendah, kita akan lihat keperluan termasuk daripada segi jumlah pelajar temasuk perempuan," katanya yang juga Penasihat MyCare Johor.

Dr Ali pula berkata, ketika ini terdapat 78 sekolah di daerah ini, namun jumlah itu tidak mencukupi kerana bilangan murid semakin bertambah dan memerlukan pendidikan.

"Sebelum perang tercetus, terdapat 68,000 pelajar di Marib namun apabila perang tercetus terdapat 138,000 kanak-kanak yang memerlukan pendidikan. Mereka termasuk anak-anak orang pelarian yang berhijrah ke Marib.

"Terima kasih kepada MyCare dan Econsave kerana menyediakan kemudahan sekolah ini membantu kanak-kanak di sini dalam bidang pendidikan yang amat penting untuk membina masa depan Yaman," katanya yang juga Ketua Pengarah Pelajaran Marib.

Pihak MyCare dan Econsave kemudian melawat Association Of Goodness for Teaching Al-Quran iaitu sebuah pusat tahfiz di bandar ini dan menyumbang AS$300 (RM1,389) untuk kegunaan mereka.

MyCARE dan Econsave juga menyumbangkan AS$1,000 (RM4,633) ketika meninjau kemudahan perkhidmatan di Clinic of Society berhampiran kem pelarian berkenaan.

Sumbangan itu bagi membeli peralatan dan kemudahan di klinik berkenaan yang dibina daripada kontena, tidak cukup peralatan dan penuh sesak dengan pesakit daripada kalangan mangsa perang dari kem-kem pelarian berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 11:31 AM