MAS Imran (kiri) dan Dr Mohd Zin  (kanan) bergambar bersama penerima sumbangan ketika melawat sebuah sekolah.
MAS Imran (kiri) dan Dr Mohd Zin (kanan) bergambar bersama penerima sumbangan ketika melawat sebuah sekolah.
Oleh Othman Mamat


Al Bab (Syria): Beberapa projek kemasyarakatan termasuk pembinaan Sekolah Malaysia dan penyediaan bekalan air bersih kepada penduduk termasuk pelarian perang di utara Syria, berjaya dilaksana menerusi sumbangan rakyat Malaysia disalurkan melalui tabung Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dengan kerjasama pasar raya Econsave Cash and Carry (Econsave).

Sekolah komprehensif berharga RM1 juta dibina di perkampungan Ataa Foundation di bandar Azaz. Apabila siap dalam masa enam hingga sembilan bulan lagi, sekolah dapat menampung 1,200 pelajar di kalangan anak pelarian.

Sekolah itu menyediakan 16 bilik darjah dan dikendali 200 kakitangan akademik dan pentadbiran. Persekolahan akan dijalankan dalam dua sesi dan menggunakan silibus komprehensif.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata, pembinaan projek sekolah itu menjadi realiti hasil sumbangan rakyat Malaysia yangsentiasa menghulurkan bantuan melalui tabung diletakkan di pintu masuk semua 88 cawangan pasar raya Econsave di seluruh negara.

"Alhamdulillah, projek sekolah diberi nama Sekolah Malaysia ini menjadi kenyataan. Terima kasih rakyat Malaysia.

"Kami harap pembinaan sekolah ini dapat memberikan pendidikan lebih sempurna kepada anak-anak pelarian Syria bagi mengubah nasib keluarga masing-masing," katanya selepas majlis pecah tanah pembinaan sekolah berkenaan di Perkampungan Ataa di pinggir bandar Azaz, Syria.

Yayasan Ataa yang berpangkalan di Turki adalah rakan strategik dan pelaksana program MyCare di Syria. Perkampungan Ataa adalah satu penempatan baharu yang mengandungi 600 unit rumah untuk menempatkan keluarga pelarian dalam negara sendiri (IDP).

Mas Imran berkata, satu lagi projek kemasyarakatan yang signifikan kepada rakyat Syria serta pelarian perang ialah penyediaan bekalan air bersih yang sedang dilaksana di bandar Al-Bab, di sini dengan kos AS$40,000 (RM180,000).

Beliau berkata, satu pertiga daripada kos projek tersebut yang menelan kos AS$40,000 dibiayai menerusi dana MyCare, Econsave dan sumbangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, lebih 15,000 penduduk termasuk penghuni kem pelarian dalam negara sendiri di bandar ini akan mendapat manfaat daripada projek bekalan air bersih yang dijangka mula beroperasi minggu depan.

Kerja menggali telaga tiub sedalam 350 meter sudah dibuat dan air mula dipam ke tangki menerusi paip sepanjang 1.2 kilometer menggunakan elektrik dijana melalui tenaga solar.

Difahamkan, sebelum ini dua daripada lima kampung di kawasan terbabit tiada sumber air dan terpaksa menghabiskan 200 lira Turkiye (RM70) sebulan hanya untuk membeli air bersih.

Namun apabila projek ini siap, penduduk hanya perlu bayar 30 lira (RM10) sebulan yang bukan bersifat keuntungan, tetapi untuk menampung kos penyelenggaraan perigi dan solar.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr Mohd Zin Kandar berkata, projek berkenaan memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menekankan kepada keperluan asas bagi masyarakat iaitu air.

"Antara sebab kami datang ke sini kerana air bersih adalah keperluan asas dan kaedah pendekatannya pula kami menggunakan sistem solar photovoltage dan dia sustainable (mampan), maknanya teknologi hijau yang dialu-alukan," katanya yang mengetuai Misi Kemanusiaan MyCare/Econsave di Syria 2022 yang bermula 26 Jun lalu.

8 kambing diagih untuk pelarian

Lapan ekor kambing yang disedekahkan rakyat Malaysia disembelih sebelum daging diagihkan kepada pelarian dalam negara sendiri (IDP) yang menghuni kem serta khemah pelarian di sekitar bandar di utara Syria ini, kelmarin.

Majlis penyembelihan dilaksanakan menerusi program MyQurbani yang dianjurkan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCare). Seekor daripada kambing itu untuk akikah manakala tujuh lagi adalah sedekah daripada rakyat Malaysia.

Kambing disedekahkan rakyat Malaysia melalui Pakej Qurban dan Akikah dilaksanakan MyCare di beberapa negara yang dilanda konflik. Harga kambing akikah dan korban di Syria pada tahun ini ditetapkan RM1,300 seekor.

Majlis penyembelihan kambing sebahagian daripada aktiviti dalam Misi Kemanusiaan MyCare/Econsave di tiga bandar di utara Syria yang berlangsung sejak enam hari itu.

Selain itu, anggota misi turut menyantuni 300 anak yatim dan yatim piatu membeli pakaian baru sebagai persediaan menyambut hari raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pengurus Besar pasar raya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam yang menyertai misi ini berkata, setiap anak yatim diperuntukkan AS$20 (RM90) dan mereka boleh memilih sendiri baju serta seluar yang disukai.

"Kami harap pemberian ini memberi sedikit keceriaan kepada anak yatim dan yatim piatu bagi merayakan Aidiladha yang akan disambut beberapa hari," katanya.

Misi julung kali dilaksana MyCare di Syria turut disertai aktivis dan wartawan. Econsave Cash and Carry rakan strategik MyCare yang membantu mengumpul sumbangan daripada orang ramai melalui tabung bantuan diletakkan di pintu masuk semua 88 cawangan Econsave di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 7:00 AM