ORANG ramai mula memakai pelitup muka selepas kes Covid-19 mula meningkat. FOTO Omar Ahmad
ORANG ramai mula memakai pelitup muka selepas kes Covid-19 mula meningkat. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Peningkatan kes Covid-19 menyebabkan sebahagian besar pengunjung beberapa pusat beli-belah, di sini, mula memakai pelitup muka.

Bukan sahaja pengunjung, malah pekerja kedai dalam premis terbabit juga dilihat mengambil tindakan berjaga-jaga bagi mencegah penularan kembali Covid-19.

Peniaga, Junainon Talib, 62, berkata dia mula memakai pelitup muka apabila keluar rumah sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, atas faktor usia, dia bimbang sekiranya dijangkiti Covid-19 walaupun sudah dilengkapi dos tambahan.

"Betul, kalau lihat di sini ramai juga yang pakai pelitup muka, selain warga emas seperti mak cik, ada juga kanak-kanak, orang muda dan juga warga asing pun sudah mula memakai pelitup muka.

"Kita pernah kena dengan jangkitan Covid-19 tiga tahun lalu, sehingga ramai yang maut. Mungkin atas sebab itu apabila kes meningkat, ramai yang ada kesedaran memakai pelitup muka," katanya.

Penghantar barang, Mohd Fauzan Mohd Farhaan, 35, berkata pemakaian pelitup muka dilihat langkah yang baik bagi menjaga kesejahteraan awam.

"Saya ambil pesanan makanan biasanya di pusat beli-belah atau premis makanan, jadi memang dapat lihat makin ramai yang pakai pelitup muka sejak minggu lalu.

"Lagi bagus pakai pelitup muka daripada dijangkiti Covid-19, yang penting kena sentiasa jaga kebersihan diri, ikut norma baharu yang sebelum ini kita amalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 4:09 PM