KEADAAN di tempat kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/4. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN di tempat kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/4. FOTO Aswadi Alias
Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: Sebanyak 375 cerucuk besi dipasang untuk menghentikan pergerakan tanah yang berlaku di lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 Taman Wawasan di sini, yang menjejaskan sembilan rumah membabitkan 29 penghuni.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kerja pemasangan oleh kontraktor dilantik dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

Menurutnya, buat masa ini kesemua penghuni rumah yang terjejas diarah mengosongkan kediaman masing-masing sementara kerja penyelenggaraan selesai dan laporan penuh oleh pihak berkaitan diperoleh.

"Berdasarkan laporan dalam mesyuarat bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), langkah awal dilakukan adalah memasang cerucuk besi di kawasan runtuhan.

"Proses mitigasi membabitkan kawasan berkeluasan 150 meter ini menggunakan 375 cerucuk besi bagi mengehadkan pergerakan tanah.

"Tindakan lain adalah JPS menutup bekalan air sementara berikutan terdapat paip pecah akibat daripada pergerakan tanah itu. Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menutup bekalan elektrik sementara," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Petaling, Rahilah Rahmat.

Anbalagan berkata, setakat ini kawasan yang terjejas hanya deretan rumah di hadapan tanah runtuh manakala rumah lain masih selamat.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu menunggu laporan daripada pihak JMG sama ada pemilik boleh kembali semula atau sekiranya ada keperluan untuk penghuni lain dipindahkan.

Beliau berkata, polis akan memastikan keselamatan rumah yang dikosongkan sepanjang kerja penyelenggaraan dijalankan bagi mengelak berlaku kejadian jenayah.

"Jika ada pemilik rumah yang mahu mengambil dokumen peribadi dan sebagainya perlu berhubung dengan pegawai polis yang berada di Pos Kawalan Tempat Kejadian terlebih dulu.

"Penduduk berhampiran pula dilarang berada di kawasan kejadian bagi mengelak kejadian tidak diingini dan mengganggu kerja-kerja baik pulih yang sedang berjalan ketika ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan kejadian jam 7.30 malam susulan hujan lebat bermula pada 5.45 petang menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 12:26 PM