ANGGOTA APM bersama JHL Lahad Datu berjaya menangkap buaya seberat 1.2 tan di kolong rumah atas air Kampung Desa Bajau, Lahad Datu. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM bersama JHL Lahad Datu berjaya menangkap buaya seberat 1.2 tan di kolong rumah atas air Kampung Desa Bajau, Lahad Datu. FOTO Ihsan APM
Juwan Riduan

Lahad Datu: Bukan calang-calang sebaliknya buaya seberat lebih 1.2 tan ditangkap sebelum ditembak pihak berkuasa di Kampung Desa Bajau di sini, semalam.

Reptilia sepanjang hampir lima meter itu terlebih dahulu ditemukan penduduk sebelum ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kolong rumah atas air di kampung itu jam 8.50 malam.

Pegawai APM Lahad Datu, Kapten (PA) Ahmad Roslan Kamel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 4.38 petang dan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menangkap reptilia berkenaan.

"Setiba di lokasi jam 5.16 petang, didapati seekor buaya besar berada di bawah rumah atas air dalam keadaan air yang surut.

"Anggota cuba menangkap menggunakan kaedah jerutan sebanyak tiga kali tetapi gagal disebabkan buaya itu terlalu besar dan agresif.

"Malah, buaya itu hampir menyerang seorang kanak-kanak yang ketika itu menyaksikan operasi menangkap reptilia berkenaan.

"Namun anggota APM berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas itu APM menghubungi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu untuk bantuan menangkap buaya berkenaan.

"Tujuh das tembakan dilepaskan termasuk di kepala menyebabkan haiwan itu mati sebelum diserahkan kepada JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut," katanya operasi ditamatkan pada 8.50 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:24 PM