MANGSA yang parah diserang buaya.
MANGSA yang parah diserang buaya.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Seorang lagi kanak-kanak menjadi mangsa serangan buaya di daerah ini dalam kejadian di Kampung Air, hari ini.

Dalam kejadian 5.55 petang itu, lelaki, 7, parah digigit reptilia ganas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan turun ke bahagian bawah rumahnya untuk mengambil ayam.

"Ketika itu, sepupu mangsa ternampak seekor buaya yang menghampirinya lalu sepupu mangsa menjerit untuk memberi amaran kepada mangsa.

"Mangsa menyelamatkan diri naik ke atas jambatan berhampiran rumahnya namun buaya itu sempat menyerang mangsa hingga cedera di bahagian kaki sebelah kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya stabil.

Sementara itu, Rohan berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu sudah mengenal pasti 28 sarang buaya di sekitar daerah ini.

"Polis bekerjasama dengan JHL Lahad Datu untuk menjalankan operasi pembanterasan reptilia ganas berkenaan," katanya.

Pada 1 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang dipercayai dibaham buaya manakala ayahnya parah akibat digigit reptilia berkenaan berhampiran pangkalan Jeti PPM Lahad Datu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 11:10 PM