Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) beramah mesra dengan orang ramai  dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) beramah mesra dengan orang ramai dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) masih belum menerima kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada Kerajaan Perpaduan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya berharap agar peruntukan berkenaan dipermudahkan memandangkan ia masih belum diterima sejak tahun lalu.

Katanya, dalam bajet juga memutuskan peruntukan berkenaan perlu untuk pengurusan dan pembangunan di 222 parlimen seluruh negara.

"Tambahan pula, Kerajaan Perpaduan secara terus terang sudah menyatakan dalam manifesto pilihan raya sebelum ini bahawa peruntukan kepada Ahli Parlimen akan dibahagikan sama rata.

"Pada kepimpinan dahulu, kita menjemput pihak pembangkang untuk duduk berbincang meneliti apa keperluan untuk mendapatkan peruntukan dan ia dapat diselesaikan dengan baik.

"Justeru, sekarang ini kami masih menunggu keputusan kerajaan dan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberinya tanpa syarat atau menyokong kerajaan, maka kita akan menerimanya dengan baik," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, PN akan meneliti kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan dikemukakan Kerajaan Perpaduan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bagaimanapun berkata pihaknya menyambut baik keputusan itu.

Pihaknya sambut baik keputusan yang dibuat namun akan meneliti kandungan MoU terlebih dulu dengan harapan ia menjadi perkara positif untuk PN.

Takiyuddin yang juga Ketua Setiausaha Agung PAS, berkata peruntukan terbabit seharusnya disegerakan memandangkan ia untuk kegunaan kepada rakyat bukan buat kepentingan Ahli Parlimen

"Semasa zaman pemerintahan Perikatan Nasional pada 2021 dan 2022 di bawah kepimpinan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, setiap Ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang pada ketika itu diberi peruntukan sama rata.

"Kerajaan terdahulu meluluskan peruntukan sebanyak lebih RM3juta untuk tujuan pengurusan dan pembangunan," katanya.

Menjawab kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang mencadangkan pemberian RM100,000 kepada Ahli Parlimen pembangkang, Takiyuddin berkata pihaknya menerima dengan hati terbuka memandangkan kini masih lagi belum menerima sebarang peruntukan walaupun hanya RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 1:02 PM