Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Perak mengumumkan bantuan khas kewangan satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri ini menerusi pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembayaran meliputi kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri termasuk Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, serta Pekerja Sambilan Harian (PSH).

Saarani (BN-Kota Tampan) bagaimanapun berkata, pemberian itu dikecualikan kepada Menteri Besar dan barisan 10 Exco kerajaan negeri.

"Atas dedikasi dan komitmen penjawat awam negeri yang tidak berbelah bahagi serta kesediaan berkorban masa dan tenaga dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan pada kadar satu setengah bulan gaji dan minimum RM2,000.

"Pembayaran sepenuhnya akan dibuat pada tahun semasa. Kerajaan Negeri sentiasa menghargai komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada penjawat awam Negeri Perak," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri bersetuju meluluskan pelbagai Peruntukan Khas menerusi Belanjawan Perak 2023 kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri berjumlah keseluruhan RM67.5 juta iaitu memababitkan pertambahan RM19.5 juta berbanding tahun 2022.

Katanya ia merangkumi penerusan peruntukan kepada kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Yang Di-Pertua (Speaker) Dewan Negeri pada kadar RM300,000 setahun.

"Ia bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program, dan bekalan. Tambahan daripada itu RM40,000 turut disediakan bagi empat program perayaan utama yang mana implikasi kewangan bagi keseluruhantujuan ini berjumlah RM20.4 juta," katanya.

Selain itu katanya, setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Perak akan menerima tambahan peruntukan berjumlah RM300,000 iaitu peningkatan RM100,000 seorang berbanding peruntukan tahun 2022.

"Peruntukan ini tidak terhad kepada kawasan masing-masing," katanya.

Katanya lagi, peruntukan Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri diteruskan dengan kadar RM7,000 sebulan iaitu dengan jumlah keseluruhan menghampiri RM5 juta setahun bagi kesemua 59 Pusat Khidmat DUN.

SAARANI membentangkan Bajet Perak 2023 pada Masyuarat Pertama & Kedua Tahun Pertama Persidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15. FOTO L. MANIMARAN.
SAARANI membentangkan Bajet Perak 2023 pada Masyuarat Pertama & Kedua Tahun Pertama Persidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15. FOTO L. MANIMARAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 7:23 PM