Mohammad Zahir dilantik Sebagai Speaker Dewan Undangan Nereri (DUN) buat kali kedua pada Pembukaan Persidangan DUN Perak Ke-15. FOTO L MANIMARAN
Mohammad Zahir dilantik Sebagai Speaker Dewan Undangan Nereri (DUN) buat kali kedua pada Pembukaan Persidangan DUN Perak Ke-15. FOTO L MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak buat kali kedua berkuat kuasa hari ini dalam Persidangan Pertama, Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15.

Usul melantik Zahir dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (Kota Tampan) dan disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan yang juga Exco Sumber Manusia, Kesihatan, dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri dengan tiada bantahan oleh ahli Dewan.

Zahir yang pernah suatu ketika menjawat jawatan Exco kerajaan Perak di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebelum pembubaran DUN Perak pada 17 Oktober lalu juga adalah Speaker DUN Perak sejak Mei 2020 menggantikan Datuk Ngeh Koo Ham.

Selanjutnya, ADUN Canning, Jenny Choy Tsi Jen (PH-DAP) dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Perak selepas namanya dicalonkan oleh ADUN Sungai Rapat yang juga Exco Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddi.

Usul Nizar mencadangkan Jenny Choy itu kemudiannya disokong oleh ADUN Temengor yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed dan tiada juga bantahan terhadapnya dikemukakan.

Aturan mesyuarat hari ini juga menyaksikan 58 daripada keseluruhan 59 ADUN yang menghadiri persidangan DUN hari ini mengangkat sumpah dengan seorang daripadanya iaitu Nga Kor Ming (Kepayang) tidak hadir kerana perlu menghadiri persidangan Parlimen yang turut berlangsung hari ini.

Komposisi kerajaan negeri Perak pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membabitkan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) yang memenangi sebanyak sebilan kerusi dan Pakatan Harapan (PH) sebanyak 24 kerusi membentuk majoriti mudah 33 kerusi.

Perak mempunyai keseluruhan 59 DUN Perikatan Nasional (PN) yang membentuk gabungan pembangkang Perak mempunyai 26 kerusi DUN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 2:11 PM