SAARANI membentangkan Belanjawan 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO IHSAN SUK PERAK
SAARANI membentangkan Belanjawan 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO IHSAN SUK PERAK
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan negeri mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada semua penjawat awam di Perak pada akhir bulan ini.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam negeri itu.

"Saya akui sumbangan dan komitmen penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan yang melaksanakan tugas dan amanah tanpa mengira waktu.

"Pembayaran RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i'dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, tok batin dan Pekerja Sambilan Harian (PSH)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Belanjawan 2021 yang mengunjurkan defisit sebanyak RM154 juta itu berlandaskan andaian ekonomi yang suram akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab dan komited untuk berusaha bagi menangani masalah itu.

"Musibah seperti ini tidak pernah kita alami dan tidak pernah kita jangka. Justeru, kita perlu bertekad menanganinya, sekalipun perlu membiasakan diri dengan norma baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 5:39 PM