GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Tertuduh, Mohammed Rashid Rahmat, 61, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan bagi kes pertama dan kes kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa masing-masing berusia tujuh tahun empat bulan dan tujuh tahun lima bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus antara 6 petang hingga 8 malam, 22 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 31 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Balai Polis Gong Badak pada setiap 1 haribulan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh diwakili Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan.

Lelaki itu yang juga mangsa banjir di PPS sama ditahan susulan dua laporan polis dibuat oleh keluarga dua kanak-kanak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 3:58 PM