GELAGAT bersahaja  Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP yang berkenan meminta graduan dan ibu bapa membuat ‘Mexican Wave’ menggamatkan Istiadat Konvokesyen Ke-18 UniMAP di Dewan Ilmu, Arau, Perlis. FOTO Tangkap Layar TikTok.
GELAGAT bersahaja Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP yang berkenan meminta graduan dan ibu bapa membuat ‘Mexican Wave’ menggamatkan Istiadat Konvokesyen Ke-18 UniMAP di Dewan Ilmu, Arau, Perlis. FOTO Tangkap Layar TikTok.
Redzuan Muharam


Kangar: Gelagat bersahaja Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberi arahan kepada graduan termasuk ibu bapa untuk membuat 'mexican wave' pada majlis konvokesyen universiti berkenaan antara yang mencuit hati hingga suasana dalam dewan menjadi gamat.

Ia dapat dilihat menerusi video video berdurasi 2 minit 14 saat yang tular di laman sosial.

"Kita sebagai tradisi konvo (konvokesyen) UniMAP, kita buat 'Mexican wave' boleh tak? Okey, kita mula dengan barisan depan sampai ke belakang, lalu belakang sana sampai depan, naik ke sini habis satu pusingan rantai.

"Macam biasa tiap-tiap tahun sama sahaja, boleh ya? Barisan depan boleh bangun sorak 'aaa' turun balik sampai belakang.

"Pernah tengok tahun lepas punya kan? Sedia. Ini raptai pusingan pertama daripada depan sampai belakang. Satu, dua, tiga mula," titah baginda pada Sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen ke-18 UniMAP, di sini, pada Sabtu lalu.

Sewaktu sesi raptai dilakukan, ada beberapa individu seperti tidak faham dengan arahan sehingga sorakan ombak gagal dilaksanakan dengan kemas.

Melihat keadaan itu, dengan pantasnya Tuanku Syed Faizuddin meminta untuk tetamu di dalam dewan berhenti.

"Berhenti, berhenti, itulah pak cik, tak datang raptai. Rasanya pak cik, mak cik ini ramai muda dari saya.

"Kita mula semula sesi raptai ini. Satu, dua, tiga mula," titah baginda lagi.

Lantaran itu, susasana di dalam dewan kedengaran riuh dengan suara dan sorakan tetamu serta barisan graduan UniMAP.

Sementara itu, rata-rata netizen turut memuji sikap rendah diri dan berjiwa rakyat Tuanku Syed Faizuddin yang pandai berseloroh.

"Ini anak raja kami, kami berbangga punya keluarga diraja sangat berjiwa rakyat yang selalu menyantuni kami rakyat jelata. Daulat Tuanku!!!," tulis pengguna Instagram (IG) dikenali Faridyeik.

"Raja Muda Perlis ini memang 'sporting', setiap kali graduan terima skrol baginda akan ucap nama satu persatu, kadang dia akan soal selidik sampai (giliran) graduan itu jadi lama sedikit," tulis seorang lagi pengguna IG, Faiz Shakirr.

Terdahulu, seramai 484 graduan menerima ijazah membabitkan siswazah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) yang disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda turut berkenan menyaksikan sesi penyerahan surat tawaran kepada pelajar dari Palestin Mohanad B.A Qubtan selepas selesai istiadat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 2:50 PM