UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP). FOTO Arkib NSTP
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kangar: Enam pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disenaraikan antara dua peratus Saintis Terbaik Dunia oleh Universiti Stanford dari Amerika Syarikat.

Canselor UniMAP yang juga Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pensyarah itu ialah Prof Dr Subash Chandra Bose Gopinath, Prof Teknologis Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Prof Teknologis Dr Uda Hashim, Prof Madya Ir Teknologis Dr Azwan Iskandar Azmi, Prof Madya Dr Liew Yun Ming dan Prof Madya Dr Voon Chun Hong.

"World's Top 2% Scientists merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menghasilkan banyak sitasi dalam pelbagai disiplin selain pengiktirafan di bawah senarai Career-long & Single Year Citation Impact," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan titah perutusan Raja Muda Perlis itu dipaparkan pada skrin gergasi bersempena dengan sidang keenam Istiadat Konvokesyen ke-18 UniMAP di Dewan Ilmu UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra di Arau, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pengiktirafan itu membuktikan kecemerlangan UniMAP dalam penyelidikan saintifik yang bukan saja mengharumkan nama universiti, tetapi juga kepada negara.

"Pencapaian pensyarah ini menandakan bahawa tenaga pengajar dan taraf akademik UniMAP berada pada tahap tertinggi setanding dengan universiti terbaik di dunia," titah baginda

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:44 PM