Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said membaca puisi bertajuk Anak-Anak Palestina pada Seniman Bangkit Membela Palestin, Menentang Kezaliman Israel di  Perbadanan Perpustakaan Awam, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said membaca puisi bertajuk Anak-Anak Palestina pada Seniman Bangkit Membela Palestin, Menentang Kezaliman Israel di Perbadanan Perpustakaan Awam, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sasterawan negara Datuk Seri Dr A Samad Said atau Pak Samad melantunkan puisi bertajuk 'Anak-anak Palestina' sebagai tanda sokongan kepada mangsa kekejaman rejim Zionis.

Puisi ditulis beliau pada 1989 itu menceritakan perasaan anak Palestin yang kehilangan ibu bapa, hidup dalam keresahan dan kesengsaraan, tiada pembelaan serta penderitaan.

Meskipun karya itu ditulis kira-kira 30 tahun lalu, namun luahan dalam puisi berkenaan seolah-olah sama situasi yang berlaku hari ini di Gaza.

Beliau antara 50 seniman dan karyawan sastera yang hadir di program Seniman Bangkit Membela Palestin, Menentang Kezaliman Israel anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), di sini, semalam.

Program dianjurkan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Presiden Mapim Azmi Abd Hamid dan Seniman Paksi Rakyat Datuk Dinsman.

Selain paparan video kekejaman rejim Zionis, program berkenaan dihidangkan dengan pembacaan sajak, bicara nurani, persembahan suara serta deklarasi ikrar seniman.

Seorang lagi sasterawan negara Datuk Zurinah Hassan menyampaikan puisi bertajuk 'Munir dan Sebuah Bendera' yang turut menceritakan kisah anak Palestin.

Program ini turut mendapat perhatian anak kelahiran Palestin, Iyad Al Yazouri, 15, yang sudah menetap di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Dia menyampaikan puisi bertajuk 'Berdiri Penuh Bersemangat Seperti Muazin' yang dibacakan dalam bahasa Arab.

Dia yang fasih berbahasa Melayu turut membacakan puisi berkenaan dalam bahasa kebangsaan dengan penuh semangat.

Turut menarik perhatian guru sekolah menengah, Lim Ah Nee berganding bersama bekas pelajarnya, Daniel Shankar membacakan puisi bertajuk 'Apa Pilihan Kita'.

Penonton turut dihiburkan lagu puisi ditulis pada 2021 bertajuk 'Dear Gaza' oleh Anbakri yang didatangkan khas dari Kelantan diiringi petikan gitar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 2:02 PM