SOKONGAN terhadap perjuangan Palestin di kebanyakan negara membuktikan warga dunia   prihatain dalam soal kemanusiaan dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel.
SOKONGAN terhadap perjuangan Palestin di kebanyakan negara membuktikan warga dunia prihatain dalam soal kemanusiaan dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Seluruh umat Islam di Malaysia telah menzahirkan rasa sedih dan marah terhadap kezaliman rejim zionis Israel terhadap hak rakyat dan kedaulatan negara Palestin. Bahkan masyarakat bukan Islam di Malaysia turut bersama menzahirkan rasa dukacita dan marah terhadap kekejaman dan rampasan kedaulatan negara Palestin yang dilihat mencabar undang-undang antarabangsa.

Kesefahaman dan tekad seluruh umat manusia mengakui bahawa kekejaman dan penindasan rejim zionis Israel merupakan pelanggaran hak asasi manusia serta jenayah perang yang menyebabkan ribuan rakyat Palestin terkorban manakala kediaman dimusnahkan dengan amat dahsyat. Tempat perlindungan dan rawatan seperti hospital dibom manakala sumber tenaga elektrik turut dimusnahkan.

Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertindak pantas dengan menyediakan tabung kemanusiaan Palestin sehingga mencapai sasaran seratus juta ringgit di samping pihak swasta dan badan bukan kerajaan segera menyahut seruan Perdana Menteri membantu menyumbang segala bentuk bantuan kewangan dan keperluan harian yang mendesak dan memerlukan perhatian sewajarnya telah berjaya dilaksanakan.

Tekad ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah Al-Maaidah 5:2)

 Ketegasan dan prinsip yang disuarakan oleh Perdana Menteri dan rakyat Malaysia menunjukkan tahap keyakinan kukuh mendukung kedaulatan negara Palestin serta mengecam tindakan kejam dan jenayah perang yang dilakukan oleh pihak rejim Zionis Israel. Bahkan ketegasan Anwar mengembalikan semangat solidariti bersama kepemimpinan dunia termasuk dunia Islam telah dinyatakan dalam lawatan segera susulan tindakan perang yang diisytiharkan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Ketegasan seluruh pimpinan Kerajaan Perpaduan terhadap kekejaman rejim Zionis dizahirkan melalui himpunan aman bagi membantah tindakan kejam rejim zionis. Bahkan isu yang membelenggu rakyat Palestin puluhan tahun telah menjadi keutamaan serta perhatian Anwar sejak dulu lagi.

Maka amat wajar pada saat dan ketika ini seluruh rakyat Malaysia bangkit bersama-sama kepemimpinan negara membawa suara solidariti rakyat Palestin dan mengenepikan seketika politik sempit dan naratif fitnah jahat yang cuba dibawa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menolak gambaran negatif jahat yang dibuat ke atas Kerajaan Perpaduan terhadap usaha baik membantu rakyat Palestin.

Naratif fitnah jahat dan politik sempit ini hanya membawa lebih banyak keburukan dan masalah di dalam negara bahkan dosanya sangat besar bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan." (Surah Al-Baqarah 2: 191) dan ditegaskan lagi bahawa: "Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan." (Surah Al-Baqarah 2: 217).

Justeru, ketika umat Islam di dunia berduka dan bersedih terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, elakkanlah negara kita yang tercinta daripada dicemari dengan adu domba dan naratif fitnah yang cuba diwujudkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengambil kesempatan dan perhatian atas isu Palestin.

 Kebersamaan untuk perjuangan rakyat Palestin perlu dimuktamadkan segera dengan kesefahaman dan tekad kukuh bangkit membela nasib umat Islam Palestin yang kian meruncing dan dirundung dengan kesakitan serta  kesedihan akibat kematian anggota keluarga. Manakala bumi tempat rakyat Palestin mencari sumber rezeki dan menumpang teduh musnah dibom disebabkan kekejaman rejim zionis Israel.

Kepada seluruh umat Islam dianjurkan berdoa dengan qunut Nazilah pada setiap solat bagi memohon pertolongan dan bantuan Allah SWT dan menoktahkan kekejaman rejim Zionis Israel dengan serta-merta.

Usaha mengembalikan semula kedaulatan negara Palestin yang telah diceroboh puluhan tahun perlu digembleng bersama manakala cubaan untuk mengambil kesempatan terhadap isu Palestin dengan perbuatan adu domba dan fitnah melampau terhadap usaha baik Perdana Menteri perlu dibanteras segera.

Semoga Allah pelihara bumi Malaysia dengan karamah insaniah (kemuliaan insan) dan memberikan kemenangan kepada perjuangan rakyat Palestin. Kekuatan Islam akan tertegak dengan kesatuan bukan perpecahan mahupun perbalahan yang merugikan umat Islam.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 7:01 AM