ANTARA rokok dan minuman keras seludup yang dirampas. FOTO ihsan JKDM
ANTARA rokok dan minuman keras seludup yang dirampas. FOTO ihsan JKDM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok dan minuman keras seludup bernilai hampir RM1 juta selepas menahan lori di Jalan Sepupok, Batu Niah, di Miri, Rabu lalu.

Pengarah JKDM Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, rokok dan minuman keras yang disyaki belum lulus kastam itu dianggarkan bernilai RM908,026 termasuk cukai.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori berkenaan melarikan diri ke dalam hutan sebaik lori berkenaan dipintas oleh anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Bintulu dan Miri.

"Bertindak hasil maklumat risikan, sepasukan anggota JKDM mengekori sebuah lori dari pekan Batu Niah, Miri menuju ke destinasi yang tidak diketahui.

"Menyedari dia diekori, pemandu lori itu kemudiannya masuk satu simpang sebelum keluar semula ke jalan utama dan anggota JKDM terus mengejarnya hingga ke satu kawasan berdekatan sebuah bukit di tepi jalan utama. Sejurus berjaya dipintas, pemandu lori itu keluar dan melarikan diri ke dalam hutan berdekatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Herman Shah berkata, pemeriksaan terhadap lori yang ditinggalkan itu menemui 520,600 batang rokok putih, 539,440 batang rokok kretek, 18 kilogram tembakau dan 3,636.58 liter minuman keras.

"Lori serta muatannya kemudian disita dan dibawa ke pejabat Penguatkuasaan JKDM Miri untuk siasatan lanjut.

"Usaha mengesan pemilik lori dan pemandu itu sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan (kesalahan pertama) boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut jumlah lebih besar bagi dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai jumlah duti Kastam atau RM500,000 mengikut jumlah lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:10 PM