Cuthbert (kiri) berbincang dengan pegawai APM dan KKM ketika menyaksikan simulasi menyelamatkan mangsa lemas akibat ribut Monsun Timur Laut di Pantai Puteri, Tanjung Kling, hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Cuthbert (kiri) berbincang dengan pegawai APM dan KKM ketika menyaksikan simulasi menyelamatkan mangsa lemas akibat ribut Monsun Timur Laut di Pantai Puteri, Tanjung Kling, hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Nuraliawati Sabri


Melaka: Bencana banjir yang melanda daerah Alor Gajah sejak petang semalam, menyebabkan 149 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan Japerun Durian Tunggal.

"Kesemua mangsa membabitkan 39 keluarga. PPS SJKC Sin Wah merekodkan mangsa paling ramai dengan 81 orang.

"Hujan lebat sejak semalam mengakibatkan enam kawasan terjejas iaitu Kampung Padang Keladi, Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun, Pekan Durian Tunggal, Taman Murai Jaya dan Kampung Padang Kerbau," katanya.

Menurut beliau, pihaknya kini berada dalam keadaan siap siaga dan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan selain menjalankan pemantauan berterusan paras air.

Media semalam melaporkan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Alor Gajah, dibuka selepas beberapa kediaman penduduk dinaiki air susulan hujan lebat.

Hujan lebat lebih dua jam bermula kira-kira jam 4.30 petang semalam turut menyebabkan ada laluan utama di Durian Tunggal dilanda banjir kilat.

Sementara itu, jurubahasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menyelamat lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak susulan kediaman mereka di Jalan Padang Keladi, Alor Gajah, dilanda banjir kilat.

"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian melakukan kerja menyelamat dan memindahkan mangsa ke rumah saudara mereka yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 5:06 PM