Seorang pekerja menyusun tiga kampit beras putih tempatan 10 KG yang dijual dengan harga RM26 pada Jualan Rahmah sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah Meru hari ini. FOTO BERNAMA
Seorang pekerja menyusun tiga kampit beras putih tempatan 10 KG yang dijual dengan harga RM26 pada Jualan Rahmah sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah Meru hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Beras tempatan menjadi barangan paling 'diburu' di Jualan Agro MADANI yang diadakan bersempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini.

Program itu yang diadakan selama tiga hari bermula semalam, turut menjual pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, ayam, telur, bawang, minyak masak, gula, tepung serta barangan mentah lain.

Pengunjung datang seawal pagi tadi dan sanggup menempuh kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan dan parkir kenderaan jauh, demi membeli beras yang berharga RM26 bagi 10 kilogram itu.

Selain beras telur Gred B yang berharga RM12.00 bagi 30 biji juga menjadi rebutan pelanggan.

Seorang pengunjung Asnah Atan, 52, dari Kuala Gula, Parit Buntar berkata beliau datang ke program tersebut semata-mata untuk membeli beras serta pelbagai barangan makanan, kerana harga yang murah dan berpatutan.

"Saya datang menaiki kereta ke sini bersama suami dan anak-anak, sejauh kira-kira 100 kilometer. Apabila saya dapat tahu mengenai program ini, memang tidak lepaskan peluang sebab harga barangan di sini sangatlah berpatutan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Asnah berkata beliau membeli dua kampit beras putih tempatan 10 kilogram dengan harga RM26 sekampit.

"Harga beras di sini sangatlah berbaloi dan murah berbanding di kedai atau pasar raya, dalam sebulan saya menggunakan 20kg beras untuk kegunaan sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Mohd Norol Azman Loat Ahmad, 65, dari Klebang Restu di sini berkata beliau pertama kali berkunjung ke program sedemikian, dan berasa seronok kerana harga barangan sangat murah.

"Saya beli beras, bawang, telur, minyak masak dan lain-lain. Memang bagus ada program sebegini boleh jimat duit belanja bulan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Saniah Salleh 65, dari Tapah berkata program jualan tersebut, sangat membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Jualan Agro MADANI ini sememangnya membantu rakyat golongan sederhana kerana harga yang dijual jauh lebih murah daripada pasar raya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata seramai 48 usahawan, terbabit dengan Jualan Agro MADANI dengan penjimatan harga barangan antara 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.

Beliau berkata sebanyak 9,000 kampit beras putih tempatan 10kg serta 270,000 biji telur, disediakan untuk jualan para pengunjung sepanjang program itu berlangsung.

"Jualan Agro MADANI mencatatkan nilai jualan sebanyak RM158,566.20 pada hari pertama penganjuran program berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 5:39 PM