Orang ramai berebut mendapatkan barang keperluan yang diberi percuma dan dijual pada harga lebih murah pada Jualan Agro Madani di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Lui. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Orang ramai berebut mendapatkan barang keperluan yang diberi percuma dan dijual pada harga lebih murah pada Jualan Agro Madani di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Lui. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Jualan murah dan pemberian barangan keperluan percuma menyebabkan orang ramai menyerbu Jualan Agro Madani di perkarangan Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Lui.

Lima ratus daripada 1,000 kampit beras 10 kilogram dijual pada harga RM20, ayam RM10 seekor, daging RM30 sekilogram selain ikan dan buah-buahan yang dijual pada harga lebih murah menyebabkan orang ramai berebut mendapatkannya.

Bukan itu sahaja, sayur-sayuran, pelbagai jenis bawang yang dijual pada harga RM4 sebungkus, makanan dan minuman yang dijual peniaga turut diberi percuma kepada orang ramai.

Ahli Parlimen Jelebu yang juga EXCO Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, memperuntukkan RM26,700 bagi dibelanjakan kepada orang ramai dengan menampung harga jualan oleh peniaga.

Mohd Azlan Sidek, 45, dari Bahau berkata, dia hadir ke program berkenaan berikutan mahu membeli beras tempatan pada harga lebih murah.

"Alhamdulillah, saya dapat beli sekampit beras 10kg, seekor ayam selain mendapat sayur dan bawang percuma," katanya.

Bagi Ramlah Johari, 38, program jualan itu perlu diadakan lebih kerap bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan seperti beras.

"Saya sentiasa menunggu jualan seperti ini kerana harga barangannya lebih murah," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, tiga program jualan membabitkan Kerajaan Pusat dan negeri diadakan di setiap kawasan Parlimen dan Dun di negeri mengikut masa ditetapkan.

"Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan Jualan Negeri Sembilan Prihatin akan sentiasa membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah iaitu sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 12:31 PM