Ustaz Wadi Annuar (dua dari kanan) dan Mohd Johari (tiga dari kiri) di di Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kecemasan Palestin oleh PKU kepada MCM yang berlangsung di pejabat MCM di Selayang, hari ini.
Ustaz Wadi Annuar (dua dari kanan) dan Mohd Johari (tiga dari kiri) di di Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kecemasan Palestin oleh PKU kepada MCM yang berlangsung di pejabat MCM di Selayang, hari ini.
Sri Ayu Kartika Amri


Selayang: Pertubuhan Khidmat Ummah (PKU) yang dipengerusikan pendakwah Ustaz Wadi Annuar menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Muslim Care Malaysia (MCM) sebagai komitmen bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza yang sengsara akibat peperangan dengan Israel.

Menerusi sumbangan itu, MCM sudah mengumpulkan kira-kira RM3 juta setakat ini hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk orang perseorangan, rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan daripada surau, masjid, sekolah serta agensi kerajaan dan swasta.

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, PKU antara pihak yang memberi sumbangan terbesar kepada MCM untuk disalurkan terus kepada penduduk Gaza.

"Alhamdulillah Ustaz Wadi melalui PKU menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada MCM untuk membantu penduduk Palestin di Gaza dan ia satu jumlah yang besar dan amat kami hargai.

"Dengan RM1 juta ini kami akan membeli keperluan asas dan paling utama makanan untuk penduduk di Gaza kerana mereka di ambang kebuluran," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kecemasan Palestin oleh PKU kepada MCM yang berlangsung di pejabat MCM di sini, hari ini.

Mohd Johari berkata, bukanlah menjadi kebanggaan kepada MCM dengan wang jutaan ringgit yang dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak, sebaliknya ia satu amanah besar perlu ditunaikan dengan komitmen yang tinggi.

Menurutnya, pada masa ini MCM menggunakan tiga saluran untuk menghantarkan bantuan kepada Gaza.

"Cara pertama dan paling berkesan yang kami gunakan sekarang ialah dengan menyalurkan wang terus kepada MCM Palestin yang Pengerusinya ialah Ahmad Abu Ayesh Al-Najar, seorang penduduk tempatan di Khan Younis, Gaza.

"Sudah lebih RM1 juta kami hantar kepada MCM Palestin dan wang itu digunakan untuk bantuan makanan kepada penduduk sekitar Gaza. 

"Sejak hari keempat perang hingga kini, Abu Ayesh dan pasukannya tidak berhenti memasak sendiri makanan dan mengedarkannya kepada penduduk yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Ustaz Wadi Annuar berkata, pihaknya tidak menjangkakan dalam tempoh yang singkat (11 sehingga 31 Oktober 2023) berjaya mengumpul sumbangan RM1 juta daripada rakyat Malaysia yang prihatin.

"Kami menyalurkan 100 peratus hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada MCM untuk diberi kepada penduduk Palestin di Gaza.

"Pihak PKU bekerjasama secara strategik dengan MCM untuk memastikan setiap bantuan dan sumbangan sampai kepada penduduk di kawasan konflik. 

"Kami percaya bahawa kuasa solidariti dan kerjasama erat seperti ini akan membawa impak yang sangat positif," katanya.

Menurutnya, bagi fasa pertama bantuan, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi penyediaan pakej bungkusan makanan. 

Pakej itu memastikan penduduk Palestin mempunyai akses kepada makanan bergizi dalam tempoh kritikal ini. 

Beliau berkata, bagi fasa kedua bantuan, sebanyak RM2 juta akan dikumpulkan bermula 1 November lalu bagi menyokong pembinaan dan pemulihan masjid yang musnah dibom. 

"Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada PKU bagi membina semula masjid di Gaza dan jumlah disasarkan sebanyak RM2 juta itu akan diserahkan sepenuhnya kepada MCM kerana mereka mempunyai pengalaman membina masjid, sekolah di berbelas negara bergolak," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun PKU 552059825987 (Maybank) atau  Muslim Care Malaysia 56449021159 (Maybank) atau 14014010147470 (Bank Islam).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:50 PM