Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan ketika majlis rumah terbuka di pejabat Muslim Care Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan ketika majlis rumah terbuka di pejabat Muslim Care Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Biarpun dihimpit pelbagai kekangan, sekatan dan serangan bertubi-tubi rejim Zionis, penyaluran bantuan di Gaza, Palestin masih terus dijalankan pasukan Muslim Care Malaysia (MCM) tanpa henti.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, sehingga kini pihaknya berjaya menyalurkan kira-kira RM5 juta bantuan kemanusiaan yang memanfaatkan 50,000 penduduk Gaza sebulan dengan kebanyakan mereka menjadi penerima tetap setiap bulan.

"Sebulan kita dapat bantu menyediakan keperluan asas seperti pakaian, makanan dan peralatan perubatan kepada 50,000 orang di seluruh Gaza.

"Tetapi atas faktor sekatan dan pelbagai kekangan, pasukan kita di sana kini hanya mampu menyalurkan bantuan pakaian dan makanan kepada 1,000 orang sehari di Rafah berbanding keperluan sebenar hampir 2 juta penduduk yang memerlukan," katanya kepada Harian Metro pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MCM di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 500 tetamu.

Mengulas situasi terkini di wilayah itu katanya, sekatan dan serangan bertubi-tubi Israel tidak mematahkan semangat pasukan MCM yang turut berisiko menjadi mangsa serangan rejim itu.

"Pasukan asal hanya tinggal Pengerusi MCM Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar kerana empat gugur syahid dan enam lagi hilang diculik tentera Zionis.

"Kini, Ahmed Abu Ayesh bergerak dalam kumpulan kecil baharu bersama lima orang saja.

"Mereka akan menggunakan wang disalurkan kita untuk membeli pakaian, tepung, beras dan bahan masakan di Gaza di tengah-tengah harga melambung disebabkan bekalan terhad akibat sekatan Israel," katanya.

Zulkifli berkata, pasukan MCM kini menggunakan segala kudrat dan sumber terhad bagi menyalurkan bantuan di Rafah.

"Mereka terpaksa menggunakan segala daya yang ada contoh dulu boleh beli pembakar, dapur gas dan solar dengan pembekal tetapi kini semuanya dilakukan secara tradisional.

"Contohnya memasak mereka akan jadikan tanah liat sebagai dapur untuk membakar ribuan roti untuk memberi penduduk makan.

"Bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan, kita buat kelas mengaji secara kecil-kecilan dalam khemah supaya jika mereka meninggal dunia pun dalam beribadah.

"Solat pula terpaksa dilakukan di bawah runtuhan manakala air pula terpaksa diambil dari telaga dengan menggunakan keldai," katanya.

Katanya, konflik perang yang memasuki bulan ketujuh itu turut memberikan kerugian kira-kira RM7.5 juta kepada MCM apabila semua aset dibangunkan di wilayah itu musnah.

"Kita anggarkan nilai kerugian aset di Gaza mencecah RM7.5 juta termasuk kompleks wakaf, masjid, pusat beli belah, ruang tambahan kompleks Imigresen, sekolah tahfiz serta ambulans.

"Selain itu, pusat rehabilitasi yang kita usahakan bersama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Perdana Global Peace Foundation (PGPF) juga musnah dalam serangan Zionis," katanya.

Zulkifli berkata, negara Islam harus tegas bersatu kerana dengan hanya gencatan senjata kekal saja penduduk Gaza mampu keluar dari penindasan yang berterusan sejak 77 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:32 PM