LETUPAN akibat pengeboman oleh tentera Israel di utara Semenanjung Gaza pada 14 Oktober. FOTO AFP
LETUPAN akibat pengeboman oleh tentera Israel di utara Semenanjung Gaza pada 14 Oktober. FOTO AFP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Kematian ada di mana-mana. Saya masih selamat tetapi Gaza tidak selamat. Pembunuhan beramai-ramai dan pertumpahan darah tidak berhenti sama sekali. Malam semalam dan adalah hari paling maut sejak permulaan perang, 300 mangsa terbunuh dalam satu hari dan lebih 800 orang cedera."

Demikian penjelasan menyayat hati Ketua Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pendidikan di Gaza, Abu Ayesh mengenai situasi terkini Perang Palestin-Israel di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata, keadaan sekarang adalah sangat mengerikan dengan pengeboman berterusan oleh rejim Zionis Israel untuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

"Pertumpahan darah tidak berhenti sama sekali di Gaza. Tentera Zionis Israel laknatullah dengan sengaja menyasarkan infrastruktur di dalam Semenanjung Gaza.

"Rejim penjajah telah menyerang hospital, sekolah, klinik, masjid termasuk masjid Malaysia. Malah Universiti Islam Gaza telah dimusnahkan sama sekali, ia adalah satu universiti tercantik dan terbaik kami ada.

"Di seluruh Semenanjung Gaza, serangan udara Israel memusnahkan seluruh kawasan kejiranan kediaman awam serta turut menyasarkan kediaman menempatkan kementerian. Zionis ingin membawa Gaza ke Zaman Batu, menteri pertahanan mereka menyifatkan rakyat Palestin sebagai haiwan dan dia mengarahkan tenteranya untuk menghapuskan semua orang," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Muslim Care Malaysia-Palestin menjelaskan, namun rakyat Palestin tidak sama sekali mengalah.

"Semalam, kumpulan Al-Aqssam menyerang sekumpulan askar Zionis yang ditempatkan berhampiran sempadan timur dengan Khan Younis.

"Mereka memusnahkan dua kenderaan tentera Zionis dan membunuh beberapa askar Israel," katanya.

ABU Ayesh. FOTO ihsan Abu Ayesh
ABU Ayesh. FOTO ihsan Abu Ayesh

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan membantu Palestin boleh salurkan kepada Maybank Muslim Care Malaysia 564490211159 atau Bank Islam 07016010077651.

Slip sumbangan boleh dihantar kepada Hotline MCM: 011-50050035, 016-9978323 (Johari), 013-4886447 (Safuan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 4:31 PM