PENDUDUK memeriksa sisa runtuhan untuk mencari mangsa di kawasan rumah yang musnah dibom rejim Zionis di Kem Pelarian Rafah di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK memeriksa sisa runtuhan untuk mencari mangsa di kawasan rumah yang musnah dibom rejim Zionis di Kem Pelarian Rafah di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Dahulunya kawasan Masjid Al-Amin Muhammad dipenuhi ribuan jemaah setiap kali memasuki waktu solat fardu. Kini kawasan sekitar masjid dipenuhi ratusan khemah pelarian warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal," ujar Pengerusi Muslim Care Malaysia Palestin, Ahmed Abu Ayesh An Najjar.

Menurutnya, masjid itu yang dibina hasil sumbangan derma rakyat Malaysia melalui pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) adalah antara masjid pertama dibom tentera Israel dalam serangan bermula 7 Oktober lalu.

"Memasuki hari ke 54 tragedi serangan Israel ini, penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza masih tiada penghujungnya.

"Bangunan masjid ini yang menyembah bumi tetap kekal menjadi bukti kekejaman Israel. Kawasan sekitar masjid ini menjadi kem perlindungan pelarian dihuni penduduk Palestin berasal dari utara semenanjung Gaza.

"Mereka ini menjadi pelarian di tanah air sendiri selepas dihambat dan dihalau tentera Israel yang menceroboh utara Gaza awal November lalu," katanya.

Abu Ayesh berkata, apa yang berlaku itu adalah peristiwa nakhbah yang baru.

"Malapetaka pada 1948 berulang kembali pada 2023. Hari nakhbah adalah hari memperingati pencerobohan dan kemusnahan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin oleh tentera Israel hingga menyebabkan lebih 700,000 warga Palestin menjadi pelarian.

"Ketika itu penduduk Palestin diusir dan dipaksa tinggal di Semenanjung Gaza. Kini keturunan anak cucu pelarian Palestin ketika itu menerima nasib sama," katanya.

SEORANG wanita tidak dapat menahan sebak berdekatan kediaman yang musnah dibom rejim Zionis di Khan Younis, Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
SEORANG wanita tidak dapat menahan sebak berdekatan kediaman yang musnah dibom rejim Zionis di Khan Younis, Semenanjung Gaza. FOTO Reuters

Menurutnya, tahap kesengsaraan dan penderitaan dialami hampir 2 juta penduduk Gaza ketika ini berat dan sukar dipercayai.

"Tiada apa-apa kemudahan di dalam khemah dihuni mangsa ini. Tiada kemudahan asas bekalan elektrik, air bersih dan tandas. Malah mereka turut dihambat kebuluran dan kekurangan bekalan makanan.

"Keadaan sama turut ditanggung pelarian Palestin yang berlindung di Sekolah Al-Jinan di selatan Semenanjung Gaza. Mereka terpaksa beratur panjang setiap hari semata-mata mahu mendapatkan bekalan air bersih untuk minuman," katanya.

SEORANG lelaki membawa kanak-kanak yang cedera parah akibat pengeboman dilakukan rejim Zionis dekat Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
SEORANG lelaki membawa kanak-kanak yang cedera parah akibat pengeboman dilakukan rejim Zionis dekat Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP

Beliau berkata, ketika ini sumbangan disalurkan melalui MCM membolehkan pihaknya membeli panel solar bagi membekalkan elektrik selain tangki air untuk mengisi air diperlukan.

Sementara itu Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan, berkata, pihaknya setakat ini sudah menyalurkan sumbangan bantuan sebanyak RM2,067,000 kepada penduduk Palestin di Gaza sejak krisis peperangan bermula.

Menurutnya, antara bentuk sumbangan sudah disalurkan adalah barangan dapur dan makanan sudah dimasak, bekalan air bersih, selimut selain barangan keperluan untuk kanak-kanak.

"Sumbangan turut membabitkan panel solar bagi membekalkan elektrik susulan kesukaran penduduk Gaza mendapatkan bahan api diesel," katanya.

SEORANG kanak-kanak Palestin yang cedera menerima rawatan di Hospital Khan Younis, Semenanjung Gaza.  FOTO Reuters
SEORANG kanak-kanak Palestin yang cedera menerima rawatan di Hospital Khan Younis, Semenanjung Gaza. FOTO Reuters

Menurutnya, sumbangan MCM ini disalurkan melalui bantuan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Miles of Smiles selain disalurkan kepada Ahmed Abu Ayesh selaku wakil MCM di Gaza.

"Selain keperluan asas untuk pelarian dan penduduk Palestin, MCM dengan bantuan NGO di Gaza turut memastikan makanan dapat dimasak dan diagihkan kepada 2,500 individu setiap hari di Khan Yunis.

"Bantuan sajian makanan harian ini dilakukan MCM sejak hari ke 4 serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza bermula 7 Oktober lalu," ujarnya.

SEORANG wanita memeluk bayinya yang terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis ditenangkan penduduk Palestin di Rafah, Semenanjung Gaza. FOTO AFP
SEORANG wanita memeluk bayinya yang terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis ditenangkan penduduk Palestin di Rafah, Semenanjung Gaza. FOTO AFP

Beliau berkata, baki RM5,000,000 lagi sumbangan yang diterima akan disalurkan secara berperingkat mengikut fasa dirancang termasuk untuk persediaan musim sejuk di sana.

"Ia turut bergantung pada keadaan semasa di Gaza. Jika perang ini dapat ditamatkan atau lanjutan gencatan senjata, sumbangan susulan akan disalurkan bagi membina semula Masjid Al-Amin Muhammad, membaik pulih sekolah selain membeli ambulans untuk kegunaan penduduk Palestin," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau menghubungi talian 0169978323 (Johari Ismail), 0134886447 (Ahmad Safwan) atau 0192049434 (Zuriati Ya'akob) untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 7:05 AM