Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad mendengar taklimat berhubung Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap,Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad mendengar taklimat berhubung Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap,Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad
Oleh Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan kerja-kerja kecemasan luar jangka ketika fasa Monsun Timur Laut (MTL).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerja kecemasan luar jangka itu membabitkan skop memulihkan sistem saliran perparitan, jalan, jambatan dan struktur kawalan banjir.

Katanya, jumlah peruntukan diagihkan secara berfasa mengikut keperluan yang diperlukan setiap negeri.

"Baru-baru ini, NRECC turun ke Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan hari ini Pulau Pinang bagi melihat persediaan yang dibuat untuk musim tengkujuh.

"Selain itu, kita juga tambah jumlah pam bergerak untuk digunakan ketika berdepan banjir," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Siakap di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha (KSU) NRECC Dr Ching Thoo Kim serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang Ir Mohd Nazri Yasmin.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM20 juta dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk melaksanakan projek RTB Taman Siakap di daerah Seberang Perai Tengah bagi mengurangkan risiko kejadian banjir di taman berkenaan termasuk Taman Supreme yang terletak bersebelahan.

"Projek ini adalah inisiatif kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan yang dikenali sebagai Projek Hybrid seperti mana kejayaan projek RTB Teluk Kumbar di Daerah Barat Daya yang siap sepenuhnya pada 2021.

"Komponen utama projek ini adalah kerja menaik taraf dua rumah pam, pembinaan tebatan banjir, menaik taraf pembentungan Lebuhraya Kurau kepada jambatan serta kerja-kerja berkaitan.

"Projek ini menyediakan tahap perlindungan banjir sehingga 100 'Average Recurrence Interval' (ARI) dan akan memberi manfaat kepada 8,000 orang penduduk di dalam kawasan sub lembangan terbabit," katanya.

Jelasnya, projek itu bermula pada 21 Ogos lalu dan dijangka siap pada 20 Ogos 2025.

Terdahulu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut di negara ini dijangka bermula pada Sabtu ini dan berterusan sehingga Mac 2024.

Dalam tempoh ini, jabatan itu menjangkakan bahawa empat hingga enam episod hujan lebat bakal berlaku membabitkan beberapa negeri antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 4:15 PM