Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Bekalan ikan berkurangan menyebabkan harga meningkat antara 10 peratus dan 30 peratus di negeri ini.

Tinjauan dilakukan mendapati harga ikan selayang meningkat antara RM12 dan RM15 sekilogram berbanding hanya RM8 dan RM10 sekilogram.

Harga ikan kembung juga turut meningkat kepada RM28 sekilogram berbanding antara RM20 dan RM22 sekilogram.

Walaupun harga meningkat, tetapi ikan dan makanan laut lain tetap menjadi pilihan pengguna.

Tinjauan di tapak pasar tani mendapati sotong dijual pada harga RM45 sekilogram, ikan tenggiri RM42 sekilogram, ikan merah RM45 sekilogram, kerisi RM16 sekilogram, udang harimau antara RM34 dan RM50 sekilogram, manakala ikan cencaru RM15 kilogram dan ikan bawal RM34 sekilogram.

Seorang peserta Pasar Tani Padang Hiliran, Khairul Azmi, 25, berkata kenaikan harga ikan dan makanan laut berlaku disebabkan nelayan tempatan tidak turun ke laut disebabkan monsun timur laut.

Katanya, bekalan ikan tempatan juga berkurangan menyebabkan berlakunya kenaikan harga sejak Ahad lalu.

"Kami hanya memperoleh bekalan ikan dan pelbagai hasil laut daripada pembekal daripada luar Terengganu," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Halimah Abd Halim, 43, dari Kampung Manir, di sini, mengakui bekalan ikan dan hasil laut berkurangan.

Katanya, walaupun ikan dan hasil laut dijual di pasar kurang berkualiti, tetapi tetap menjadi pilihan keluarga.

"Ikan dan hasil laut yang dijual di pasar sejak Ahad lalu tidak seperti dihasilkan nelayan tempatan yang masih segar.

"Walaupun berlaku peningkatan harga, tetapi ikan dan hasil laut tetap menjadi pilihan ahli keluarganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 1:52 PM