GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang Jaya: Pemandu lori diberkas selepas enggan beri kerjasama dan membuat provokasi gara-gara tidak berpuas hati kerana disaman di stesen minyak di Jalan Ampang, di sini semalam.

Difahamkan pemandu terbabit terlebih dahulu sudah dilepaskan selepas ditahan dan disaman atas kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Bagaimanapun, anggota trafik terjumpa semula lori terbabit dan mendapati suspek berkenaan masih menggunakan telefon bimbit serta membuat provokasi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, anggota trafik menahan lori dipandu suspek berkenaan untuk diperiksa kira-kira 3 petang.

"Semasa pemeriksaan dibuat, suspek membuat provokasi terhadap polis yang bertugas secara meninggikan suara. Suspek turut merakam video semasa kejadian.

"Pihak polis mengeluarkan amaran sebanyak tiga kali supaya tidak melakukan perbuatan berkenaan tetapi suspek enggan mematuhi arahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 28 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan air kencing didapati negatif.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan satu saman dikeluarkan ke atasnya atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-dua sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 4:20 PM