BEH Eng Lai. Foto fail NSTP.
BEH Eng Lai. Foto fail NSTP.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kertas siasatan dibuka berhubung satu hantaran Facebook yang mengaitkan gerakan Kristian Evangelist dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hantaran yang dimuat naik pada Isnin lalu itu mendakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menerima dana daripada KBS, bergerak membawa agenda Kristian Evangelist bagi menarik golongan belia ke gereja.

Ia juga mendakwa program anjuran NGO terbabit salah satu cara untuk menyebarkan dakyah kristian dalam golongan belia termasuk umat Islam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung tuduhan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau mengulas isu tersebut secara provokasi.

"Perbuatan itu mungkin boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mendatangkan kegusaran dengan memainkan sensitiviti kaum atau agama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 6:05 PM