GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP


Alor Setar: Tiga anggota Balai Polis Merbok, Sungai Petani ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lalu, kerana disyaki terbabit dalam urus niaga dadah.

Sumber berkata, susulan daripada tangkapan itu, pegawai SPRM melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan Proton Waja milik Balai Polis Merbok dan menemui dadah di ruang tempat letak tayar simpanan.

Katanya, tiga suspek berpangkat Koperal berusia 32 tahun dan dua Lans Koperal berusia 35 dan 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Antara barangan ditemui adalah dadah dipercayai heroin seberat 33.88 gram, dadah dipercayai syabu seberat 19.5 gram dan dadah dipercayai ganja seberat 13.99 gram.

"Nilai rampasan kesemua dadah berkenaan adalah dianggarkan RM3,290," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas tiga anggota terbabit mendapati mereka bebas pengaruh dadah.

Katanya, SPRM masih melakukan siasatan lanjut kerana kes dipercayai turut membabitkan sogokan wang tunai berjumlah RM5,000.

Sementara itu, jurucakap SPRM Kedah mengesahkan tangkapakan ke atas tiga anggota polis terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 4:39 PM