Asrol Awang


Kuantan: Lebih 6,000 orang menyertai Himpunan Pahang For Palestin di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.

Himpunan yang dianjurkan Kerajaan Pahang itu bagi melahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap nasib malang rakyat Palestin yang terus ditindas, dizalimi dan dibunuh rejim Israel.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Pahang menjadi negeri pertama di negara ini menganjurkan himpunan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Palestin.

Katanya, himpunan itu menunjukkan kebencian rakyat negara ini, khususnya Pahang terhadap Israel yang melakukan kekejaman dan kezaliman kepada rakyat Palestin.

"Israel bukan saja memutuskan bekalan makanan, air dan elektrik, malah kemudahan internet turut diputuskan supaya perhubungan dunia dan Palestin sekat.

"Walaupun Palestin 17,700 kilometer dari Pahang tetapi hati kita dekat dengan rakyat negara itu kerana kita benci kepada kekejaman, kezaliman yang dilakukan Israel.

"Sebenarnya, Pahang dari dulu tidak pernah jemu dan penat untuk membantu Palestin dengan menyumbang RM700,000 pada Tabung Palestin 1.0," katanya pada himpunan itu.

Wan Rosdy melancarkan Tabung Palestin 2.0 yang berjaya mengutip hasil sumbangan kerajaan negeri dan Majlis Kebajikan India Muslim Pahang.

Pada Tabung Palestin 1.0, sejumlah RM700,000 berjaya dikutip dan disumbangkan kepada rakyat negara berkenaan.

Himpunan itu turut disertai Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badlishah Alauddin, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selebriti televisyen, Farah Adeeba dan aktiviti kemanusiaan Heliza dan Hazwani Helmi yang menyampaikan ucapan kekejaman Israel..

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:01 PM