Ifa Raziah (tengah) bersama selebriti di Himpunan Kemanusiaan Palestin
Ifa Raziah (tengah) bersama selebriti di Himpunan Kemanusiaan Palestin
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Selebriti dan usahawan Ifa Raziah menghimpunkan barisan selebriti dan pengunjung di Himpunan Kemanusiaan Palestin di Juru Auto City, Pulau Pinang, baru-baru ini sebagai usaha solidariti buat rakyat Palestin.

Program terbabit adalah sebagai satu daripada aktiviti acara Starvendors Penang Foodstival 2023 yang berlangsung pada 10 hingga 12 November lalu.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 48, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Starvendors bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang hadir ke himpunan itu.

"Himpunan ini adalah yang pertama di adakan di Juru, Pulau Pinang. Dalam kita bergembira, jangan dilupakan saudara Islam kita di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim zionis Israel.

"Kami di sini turut bersedih dengan apa yang berlaku di sana. Angka kematian terus meningkat kepada lebih 11,000 orang yang membabitkan lebih 4,500 kanak-kanak, 3,027 orang wanita, lebih 678 orang warga emas dan lebih 27,490 orang cedera," katanya.

Program terbabit turut mengumpul sumbangan selain menganjurkan tazkirah berkenaan isu peperangan yang melanda bumi bergolak di Gaza daripada pendakwah terkenal iaitu Ustaz Wadi Anuar.

"Selain ceramah Ustaz Wadi, kami bersama Pertubuhan Khidmat Ummah turut membuat kutipan untuk Misi Bantuan Palestin yang akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan di sana.

"Ingat, anak Melayu, Cina, India dan Palestin itu semua adalah anak kita!" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 6:54 PM