Pemandu Toyota Vios rentung dalam nahas dua kenderaan di kilometer (KM) 49.5, Jalan Batu Pahat - Mersing, di Kluang Johor kira-kira 1 pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
Pemandu Toyota Vios rentung dalam nahas dua kenderaan di kilometer (KM) 49.5, Jalan Batu Pahat - Mersing, di Kluang Johor kira-kira 1 pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Pemandu Toyota Vios rentung dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 49.5, Jalan Batu Pahat - Mersing di sini kira-kira 1 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, pemandunya yang identitinya belum dikenal pasti itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dinaiki lima orang.

Katanya, pemandu MPV berusia 55 tahun bersama tiga penumpang warga Singapura iaitu suami isteri dan anak berusia 50, 47 dan 11 tahun mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini.

"Hasil siasatan awal mendapati MPV berkenaan dari Batu Pahat menghala ke pusat bandar Kluang manakala Toyota Vios dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Vios dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan lalu bertembung MPV berkenaan.

"Kemalangan itu menyebabkan Toyota Vios itu turut melanggar pokok di bahu jalan dan terbakar manakala pemandu rentung.

"Pemandu MPV mengalami luka di kepala dan badan manakala tiga penumpang di belakang turut cedera manakala seorang lagi penumpang di hadapan tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, pemandu Toyota Vios tersepit dalam kenderaannya yang terbakar.

"Mangsa rentung berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa yang cedera dibawa ke HEBHK menggunakan ambulans," katanya operasi ditamatkan pada 2.28 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 10:34 AM