SEORANG lelaki ditemui meninggal dunia selepas kereta Proton Persona yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vellfire di kawasan Hosba. FOTO ihsan BOMBA
SEORANG lelaki ditemui meninggal dunia selepas kereta Proton Persona yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vellfire di kawasan Hosba. FOTO ihsan BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Identiti pemandu kereta Proton Persona yang rentung selepas kenderaan dipandunya terbakar dalam kemalangan di simpang Kampung Nongka, Napoh malam tadi masih belum dikenal pasti setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, proses untuk mengesan identiti mangsa sedang dilakukan.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan Proton Persona di simpang Kampung Nongka, Napoh, di sini, pada jam 11.50 malam.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian dipercayai kemalangan berlaku apabila pemandu Toyota Vellfire berusia 22 tahun berasal dari Telok Panglima Garang, Banting, Selangor membawa keluarganya dari Kaki Bukit, Perlis pulang ke Selangor dengan melalui jalan Kampung Napoh.

"Sebaik tiba di Kilometer 19.4 Lebuhraya Utara Selatan, pemandu Vellfire membelok ke kanan untuk menghala ke Alor Setar (arah selatan) sebelum dirempuh pada sebelah kiri oleh Proton Persona yang dipercayai dari Changlun," katanya.

Rodzi berkata, akibat perlanggaran itu, MPV itu terbalik manakala Proton Persona itu terbabas ke kiri jalan sebelum terbakar.

Katanya, pemandu kereta Proton Persona itu dipercayai tersepit dan disahkan meninggal dunia (rentung) di tempat kejadian manakala pemandu dan enam penumpang Toyota Vellfire itu mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

Rodzi berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan waris pemandu Proton Persona itu dan meminta saksi yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang lelaki yang meninggal dunia selepas Proton Persona dipandunya terbakar selepas kemalangan dikatakan sempat meminta tolong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 12:30 PM