KEADAAN kereta dinaiki tiga sekeluarga yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 79 Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta dinaiki tiga sekeluarga yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 79 Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohamad Fahd Rahmat


IBU bersama anak perempuan maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 79 Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam di Kluang, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, pemandu kereta Toyota Vios yang juga suami mangsa turut parah.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Nurul Aqilah Tukol, 25, dan anaknya Amanda Nur Keisha Akmal Lufti, dua tahun yang berada di tempat duduk belakang.

Menurutnya, suami Nurul Aqilah iaitu Akmal Lufti Esa, 32, yang parah dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk rawatan

“Kereta berkenaan dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam. Semasa kemalangan, hujan lebat dan jalan selekoh.

“Dalam kemalangan itu, pemandu lori berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan. Penumpang hadapan dan penumpang belakang kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 9:30 PM