Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharapkan lebih banyak majikan di negara ini menggaji bekas banduan bagi memberi peluang kedua kepada mereka agar kembali ke pangkuan masyarakat selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, beberapa kementerian juga sudah bersama-sama mendokong usaha Jabatan Penjara bagi memberi penekanan kepada golongan seperti ini dengan memberikan peluang pekerjaan.

"Dalam masa yang sama, ganjaran dan inisiatif dapat dirasai sama oleh pihak majikan.

"Antara agensi yang turut mendokong usaha Jabatan Penjara memberi peluang pekerjaan kepada golongan ini termasuklah Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia, Perkeso, LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan banyak lagi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai langkah diambil kementerian bagi menarik minat majikan bagi menggajikan pekerja dalam kalangan penghuni penjara selain perancangan menggalakkan mereka bagi mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, Jabatan Penjara juga sudah melaksanakan beberapa siri seminar dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menambah baik serta menggalakkan lebih ramai pihak terbabit dengan program seumpama itu.

Selain itu katanya, Jabatan Penjara juga menggalakkan lebih ramai penghuni penjara mengikuti program TVET.

Beliau berkata, antara program ini adalah seperti melibatkan kerjasama dengan Malaysia Productivity Corporation dan projek riben kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 1:34 PM