LADANG kelapa sawit. FOTO Ihsan Pembaca
LADANG kelapa sawit. FOTO Ihsan Pembaca
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merancang melatih rakyat tempatan terutama golongan muda sebagai penuai kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia selaras dengan usaha menjadikan penuai kelapa sawit sebagai salah satu profesion unik serta amat diperlukan.

"Kementerian sudah memulakan kursus untuk (mereka) menjadi penuai.

"Kita sudah mengenalpasti 60 pelajar yang kita akan masukkan (mereka) dalam Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

"Kemudian kita akan hantar ke ladang untuk mengajar mereka menjadi penuai," katanya ketika penggulungan Titah Diraja peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kerja sebagai penuai kelapa sawit yang biasanya dikendalikan pekerja asing melakukan tujuh perkara iaitu menilai sama ada buah sawit sudah masak, memotong pelepah, memotong buah tandan sawit dan menyusun pelepah.

Katanya, antara aspek lain dilakukan adalah meletakkan buah sawit ke atas lori, mengutip buah sawit relai dan memindahkan buah sawit ke tepi jalan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya hanya mahukan penuai kelapa sawit dalam kalangan rakyat tempatan atau golongan muda melakukan tiga aspek sahaja.

"Pertamanya melihat buah yang masak, potong pelepah dan bagaimana nak potong buah itu untuk jatuh.

"Yang baki empat yang lain ini kita pekerja asing akan buat. Kita boleh gunakan pekerja asing dan jentera.

"Tapi tiga (aspek) ini memerlukan banyak pengalaman dan latihan yang betul dan kita sudah cuba menggunakan projek rintis untuk 60 pelajar dimasukkan dalam TVET," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:06 PM