Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan merangka sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengawal selia dan memastikan kebajikan pesara serta bekas pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih terjamin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, RUU itu kini dalam peringkat penelitian pegawai undang-undang Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun hadapan.

Beliau berkata, dengan adanya RUU itu, membolehkan penyaluran peruntukan kerajaan untuk kumpulan berkenaan diselaras dengan lebih teratur dan berkesan, berbanding masa kini.

"RUU ini nanti akan dijadikan punca kuasa antaranya perkara berkaitan pendaftaran pesara polis dan bekas pegawai polis bagi mengawal persatuan pesara polis dan bekas pegawai polis.

"Ia juga sebagai punca kuasa untuk menjaga kebajikan pesara polis dan bekas pegawai polis," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai adakah rancangan KDN dan PDRM untuk mewujudkan undang-undang bagi pesara polis.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar turut tidak menolak bahawa RUU itu nanti membolehkan pesara dan bekas pegawai polis dipusatkan di bawah satu jabatan seperti yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagi memastikan pesara polis dan bekas pegawai polis menerima manfaat, kita berharap rancangan ini membolehkan kita lakukan sebagaimana yang dibuat oleh ATM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 12:08 PM