Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Saya dan beberapa penduduk kampung terpaksa rosakkan pintu jeriji untuk mengeluarkan Zamri yang terperangkap dalam rumah yang sudah dipenuhi asap," kata Fikri Ibrahim, 40.

Fikri adalah seorang daripada saksi kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah didiami dua beradik termasuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di Kampung Pulau Melaka, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira 4.20 itu, mangsa, Mohd Zamri Awang, 49, tinggal berseorangan manakala abangnya, Zamani, 53, berada di farmasi miliknya di bandar Kota Bharu.

"Saya ternampak api belum marak di bahagian dapur rumah mereka dan segera mencapai hos air serta cuba memadamkannya namun tidak berjaya.

"Saya kemudian ke bahagian hadapan rumah dan memecahkan jeriji besi yang berkunci dengan bantuan beberapa jiran untuk mengeluarkan Zamri.

"Sebaik pintu dapat dibuka, keadaan dalam rumah sudah dipenuhi asap dan Zamri terus keluar dengan berkaki ayam," katanya ketika ditemui.

Fikri berkata, melihat api yang semakin marak, mereka memecahkan cermin kereta jenis Volkswagen milik Zamani yang di parkir di halaman rumah untuk dialihkan ke tempat selamat manakala motosikal Demak sudah hangus.

Sementara itu, Zamani berkata, dia sentiasa meninggalkan adiknya berseorangan ketika keluar bekerja dan makan minum Mohd Zamri lazimnya akan dihantar seorang lagi adiknya.

"Saya dihubungi jiran memaklumkan rumah kami terbakar. Naluri saya kuat mengatakan adik dapat menyelamatkan diri, namun pada masa sama saya risau keselamatan dirinya.

"Saya lambat sampai kerana kerana keadaan trafik sesak tetapi Alhamdulillah, dengan bantuan jiran sekitar, adik berjaya diselamatkan," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.25 petang dan seramai 19 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah separa kekal dengan 80 peratus kemusnahan, manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 9:07 PM
ZAMANI (baju biru) melihat rumahnya yang musnah akibat kebakaran di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. FOTO Rohana Idris
ZAMANI (baju biru) melihat rumahnya yang musnah akibat kebakaran di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. FOTO Rohana Idris