Pengerusi Lembaga Pengarah ICYM, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menyampaikan Anugerah Emas kepada penerima sempena Majlis Konvensyen ICYM, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Pengerusi Lembaga Pengarah ICYM, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menyampaikan Anugerah Emas kepada penerima sempena Majlis Konvensyen ICYM, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Durian Tunggal: Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) berbangga dan teruja apabila kadar kebolehpasaran graduannya selepas menamatkan pengajian melebihi 89 peratus.

Keadaan itu susulan kesediaan pihak syarikat dan industri menerima lebih ramai pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengikuti pengajian di ICYM sejak akhir-akhir ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ICYM, Wan Ahmad Kamil Wan Embong, berkata ICYM turut merekodkan kadar keseluruhan kebolehpasaran pekerjaan graduan Program Work Base Learning (WBL) sebanyak 89 peratus dan ia terbukti apabila seramai 105 dari 118 graduan program terbabit mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Keutamaan kita adalah jaminan pekerjaan kepada semua graduan ICYM. Kejayaan ICYM hari ini dianggarkan lebih daripada 89 peratus graduan mendapat pekerjaan, contohnya, ramai dalam kalangan graduan sudah bekerja sebagai animator di beberapa syarikat animasi seperti Les Copaque, Lensa Film, Animasia dan Vision Animation.

"Selain itu, bidang penyiaran juga menjadi pilihan graduan untuk bekerja termasuk di stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Astro dan TV Alhijrah di samping menjadi usahawan berjaya," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen ICYM Ke-19 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah ICYM Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Kamil berkata, pihaknya komited membangunkan sektor pendidikan tinggi yang dinamik, berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa untuk masa depan pelajarnya.

Katanya, sehubungan itu, kolej berkenaan berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai satu daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini melaksanakan program Dermasiswa B40 di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian di peringkat diploma.

Bagaimanapun, beliau berharap pihak berwajib dapat meningkatkan lagi jumlah kuota pelajar program Dermasiswa JPA di ICYM tahun akan datang.

Sementara itu, beliau berkata ICYM merancang untuk memperluaskan capaian rakan industri di seluruh negara.

Katanya, pelbagai strategi dijalankan bagi meningkat kebolehpasaran graduan dan peluang jaminan pekerjaan seperti program Young Employable Students (YES) dan MyNext dengan kerjasama rakan strategik seperti Talent Corporation Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Untuk memantapkan lagi potensi diri graduan ICYM, pelbagai program khas seperti Talking Titan (kemahiran komunikasi) serta Young Metièr (platform keusahawanan) dan banyak lagi turut disediakan.

"Pusat Latihan Teknologi dan Vokasional kini dijenamakan semula sebagai ICYM TVET Centre bagi memastikan penyediaan pengajaran dan pembelajaran kemahiran yang inovatif, relevan dan berkualiti. Bidang yang ditawarkan adalah sijil kemahiran kulinari, pastri, elektrik dan automotif," katanya.

ICYM TVET Centre yang ditaja sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Pelajaran MARA menyediakan kursus jangka pendek yang dapat memenuhi pasaran pekerjaan, termasuk Kursus Dron Bawah Air dan Terminal Traktor Operator.

"ICYM TVET juga merekodkan kadar kebolehpasaran pekerjaan sehingga 100 peratus yang mana semua graduan ini ditawarkan pekerjaan dengan syarikat Westport Malaysia Sdn Bhd dan Saru Teknik Sdn Bhd selepas dua minggu tamat latihan dengan anggaran gaji sehingga RM3,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, seramai 765 graduan yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah, diploma dan sijil terbabit dalam graduasi berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 339 adalah pelajar bagi program diploma, 345 (Sijil Kemahiran Malaysia), 81 (ijazah dan diploma) manakala tujuh lagi adalah penerima sijil pengiktirafan dan lesen penyelenggaraan pesawat yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 7:40 AM