Orang ramai memilih daun kelapa serta daun palas untuk membuat ketupat ketika tinjauan persiapan sambutan Aidilfitri di Pasar Tani Alor Gajah, hari ini. FOTO BERNAMA
Orang ramai memilih daun kelapa serta daun palas untuk membuat ketupat ketika tinjauan persiapan sambutan Aidilfitri di Pasar Tani Alor Gajah, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bahawa bekalan keperluan musim perayaan dan lain-lain makanan yang dipasarkan menerusi Program Pasar Tani Khas Aidilfitri 2021 di seluruh negara adalah mencukupi.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebanyak 85 outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terbabit bagi pelaksanaan program itu yang terdiri daripada 59 pasar tani, 23 pasar tani kekal dan tiga MyFarm Outlet yang bermula 1 Mei hingga esok (12 Mei).

"Jangkaan kuantiti bekalan ayam dan daging di Pasar Tani Khas pada kali ini ialah sebanyak 197 tan metrik meliputi ayam 131 tan metrik dan daging 66 tan metrik. Komoditi seperti ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran di Pasar Tani Khas Aidilfitri ini juga mencukupi.

"Bagi segmen komoditi kelapa, jangkaan import bagi 2021 meningkat kepada 67 peratus atau 18 juta biji berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 12 juta biji. Hingga April 2021, sebanyak 4.5 juta biji telah diimport oleh FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACorp) bagi tujuan ini, dan antara akses pasaran untuk kelapa ialah semua outlet FAMA dan outlet pemasaran lain di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ronald, keputusan kerajaan memberi kebenaran operasi kepada outlet pemasaran FAMA seperti Pasar Tani Khas itu bagi memastikan pengguna mendapat bekalan barangan segar secara terus bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Konsep Pasar Tani Khas ini bertujuan memberi peluang kepada usahawan memasarkan hasil pertanian mereka semasa musim sambutan Aidilfitri yang mana mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung.

"Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih keperluan hari raya," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, FAMA juga akan terus memastikan setiap outlet pemasarannya mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Ronald berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 307 pasar tani aktif beroperasi melibatkan 12,843 usahawan di seluruh negara dan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM87,513,687.16.

"Secara keseluruhan, usahawan pasar tani telah menggunakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai seperti penggunaan Maybank QR-Pay, Touch N Go, Grab Pay dan Boost dalam urusan jual beli.

"Sebanyak 30 peratus atau 90 lokasi daripada 302 lokasi pasar tani yang melibatkan 61 peratus atau 9,098 daripada 12,843 usahawan telah menggunakan perkhidmatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 2:02 PM