Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menyifatkan kenaikan peruntukan pembangunan untuk negeri ini kepada RM6.6 bilion menerusi Belanjawan 2024 sebagai manifestasi dokongan Kerajaan Perpaduan untuk menyeimbangkan pembangunan antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan sebanyak RM100 juta itu juga adalah sebahagian usaha Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan itu dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 tidak lama lagi," katanya mengulas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, semalam.

Hajiji berkata, inti pati Belanjawan Madani 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2024 yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) nanti.

Katanya, Belanjawan 2024, iaitu belanjawan kedua yang dibentangkan Anwar sejak mengambil alih teraju pemerintahan pada 24 November 2022, jelas menunjukkan wilayah Borneo terus digerakkan dalam arus pembangunan negara apabila Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM5.8 bilion.

Beliau berkata, dasar fiskal yang lebih baik dan progresif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 akan membawa impak besar kepada Sabah dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri ini dan menarik pelaburan asing.

"Kita melihat dasar yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini sebagai amat inklusif, dengan mengambil kira keadaan ekonomi global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 8:27 AM